Detroit: Become Human adalah permainan yang di bangunkan oleh Quantic Dream dan di keluarkan oleh Sony Interactive Entertainment untuk Playstation 4. Skrip permainan ini ditulis oleh David Cage dan beliau terkenal dengan hasil kerjanya untuk permainan Heavy Rain dan Beyond: Two Soul yang dilancarkan di Playstation 3 beberapa tahun lepas.
Saya sempat untuk mencuba permainan ini ketika PSX 2017 SEA yang berlangsung pada 5 Ogos yang lepas. Bagi mereka yang menonton trailer E3 tahun 2016 di atas, saya sempat untuk bermain adegan tersebut. Dengan mengawal android, Connor. Saya ditugaskan untuk menyelamat seorang budak perempuan, Emma yang jadi tebusan android bernama Daniel.
Bagi anda yang biasa dengan permainan keluaran Quantic Dream, anda pasti tidak akan kecewa dengan visual permainan ini. Setiap rekaan dan model watak yang dipertayangkan sangat terperinci dan kami hanyalah bermain di Playstation 4 biasa.
Dari segi bentuk permainan pula, permainan ini merupakan permainan aksi pengembaraan yang dikawal dalam bentuk pandangan orang ketiga. Cara kawalan adalah seperti permainan yang lain, tetapi bagi mereka yang pernah bermain Heavy Rain dan Beyond: Two Souls, bentuk kawalan permainan ini menghampiri permainan tersebut. Anda akan menggunakan analog kanan untuk membuat pelbagai aksi, seperti untuk tunduk dan berinteraksi dengan barangan di lantai. Sepanjang anda bermain permainan ini, anda akan berinteraksi dengan menyelesaikan misteri dengan membina semula adegan-adegan yang berlaku dalam bentuk hologram seolah seperti “Detective Mode” di dalam permainan Batman Arkham Knight.
Dari segi penyelesaian misteri, permainan ini agak mudah untuk dimainkan kerana setiap petunjuk dan barangan yang ada boleh berinteraksi dan ia akan memaparkan peratusan kejayaan anda untuk menyelamatkan tebusan tersebut. Saya percaya apabila permainan ini dilancarkan kelak, ia akan terdapat lagi banyak isian dan misteri yang mungkin akan memberi cabaran kepada pemain, tetapi setakat yang dipermainkan oleh saya, ia sememang ringkas untuk dimainkan.
Seperti permainan David Cage sebelum ini, ia mempunyai pengakhiran yang berlainan berdasarkan tindakan yang anda pilih. Setiap pilihan anda sangat penting, terutamanya ketika anda memilih kata-kata untuk menenangkan android Daniel yang sedang memberontak. Saya sempat bermain permainan ini selama dua kali dan mendapat dua pengakhiran yang berbeza. Sememangnya, setiap pilihan yang dibuat sangat penting untuk selamatkan tebusan tersebut.
Akhir kata, permainan ini bagi saya sangat menarik dari segi penceritaan dan visual. Tetapi dari segi bentuk permainan terutamanya ketika berinteraksi bersama objek-objek agak menjengkelkan kerana analog kanan yang digunakan untuk berinteraksi dengan objek tersebut merupakan kawalan yang sama untuk mengubah kamera ketika bermain. Jadi saya sering menghadapi masalah untuk mengubah kamera, dan tiba-tiba ada objek yang saya boleh berinteraksi berdekatan, menyebabkan permainan tersebut menukar kamera secara mendadak. Bagi anda yang biasa dengan permainan Heavy Rain, anda mungkin akan merasa perkara yang sama.
Quantic Dream masih lagi tidak mengumumkan tarikh pelancaran bagi permainan Detroit: Become Human. Tetapi David Cage mengumumkan permainan ini sememangnya akan dilancarkan pada tahun 2018.
Bagi anda yang ke PSX 2017 SEA 5 Ogos yang lepas, adakah anda sempat untuk bermain permainan ini? Apakah pendapat anda berkenaan permainan tersebut? Jangan lupa untuk tinggalkan komen dibawah.