For Honor permainan dari Ubisoft yang dilancarkan pada bulan Februari yang lepas, kini kembali dengan kemaskini baru bersempena musim ketiga, Grudge & Glory. Ia akan dilancarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC pada 15 Ogos ini. Kemaskini ini merupakan kemaskini terbesar untuk permainan For Honor sejak pelancaran yang lepas.

Ubisoft akan memperkenalkan dua watak yang baru, iaitu Highlander dan Gladiator, dua kawasan baru, dan juga pelbagai kelengkapan baru untuk pemain. Malah mereka juga akan memperkenalkan perlawanan berkedudukan yang bakal mengubah cara pemain bermain permainan ini. Bagi kemaskini kawasan, kelengkapan dan perlawanan berkedudukan, kesemua pemain akan mendapatnya secara percuma.

Bagi dua watak terbaru Highlander dan Gladiator, pemain yang mempunyai pas musim akan mendapatnya secara percuma. Manakala bagi pemain yang lain, mereka perlu membeli watak tersebut dengan mata wang permainan sebanyak 15,000 steel seminggu selepas ia dilancarkan iaitu pada 22 Ogos.

Highlander adalah watak yang berupaya untuk menggunakan dua jenis teknik berlawan. Teknik pertahanan membolehkan pemain untuk membuat serangan balas yang sangat kuat, manakala teknik serangan pula membolehkan para pemain untuk menyerang dengan serangan yang membawa maut terhadap musuh. Dengan memegang pedang yang berat dan panjang, Highlander juga berupaya untuk menyerang dengan kombinasi pertempuran yang kuat pada juga jarak jauh.

Sebagai Gladiator pula, para pemain akan dapat mengendalikan senjata trident dan perisai. Walaupun Gladiotor mempunyai perisai badan yang rendah, mereka berupaya untuk menumbuk musuh untuk membuat kombinasi serangan yang pantas dan berkuasa. Gladiator juga mempunyai meter stamina yang lebih tinggi, sekaligus membolehkan para pemain untuk buat pelbagai kombinasi yang tangkas untuk membunuh musuh.

Kemaskini musim ketiga ini juga bakal memberi pemain perlawanan kompetitif dalam bentuk perlawanan berkedudukan. Dengan menyertai pertandingan, pemain boleh bertempur dengan musuh yang berkedudukan tinggi. Pemain juga berpeluang untuk memenangi pelbagai ganjaran dan Ubisoft menyatakan mereka akan sentiasa mengemaskini ia dengan pelbagai isian terbaru untuk perlawanan kompetitif.

Bagi anda yang masih bermain For Honor, adakah anda gembira dengan kemaskini terbaru oleh Ubisoft ini?

Sohor Kini