Filem pertama untuk The Accountant bermula dengan memperlihatkan Christian Wolff lakonan Ben Affleck sebagai akauntan dengan melakukan pemotongan cukai untuk pelanggan, dan juga menyiasat mengenai kehilangan wang di dalam satu syarikat yang membawa kepada satu perkara yang berlainan. Bagi filem kedua pula, ia tidak lagi menjadi perkara yang penting. Sebaliknya terus membawa kepada kisah kehidupan lain untuk Christian Wolff iaitu seorang yang kita boleh panggil hero aksi dan juga perisik. Walaupun masih menggunakan judul The Accountant, ia tidak lebih daripada sekadar panggilan untuknya sahaja.

The Accountant 2 bermula dengan Raymond King lakonan J.K Simmons yang semasa filem pertama di dalam proses untuk bersara, telah bersara tetapi dia melakukan satu siasatan persendirian mengenai kehilangan seorang budak lelaki selepas diupah oleh bapa budak tersebut. Penyiasatannya itu telah menarik perhatian sekumpulan jahat dan dia telah dibunuh, namun sebelum terbunuh dia sempat untuk menulis “Call The Accountant” di tangannya. Pihak polis kemudian melaporkan perkara tersebut kepada Marybeth Medina lakonan Cynthia Addai-Robinson yang seperti diperlihatkan pada akhir filem pertama menggantikan tempat Raymond King di dalam FinCEN.

Marybeth Medina masih lagi kurang selesa untuk bekerjasama dengan Christian Wolff akan tetapi melihatkan kepada siasatan yang dilakukan oleh Raymond King jauh lebih rumit berbanding dengan dia sangkakan, mereka bekerjasama tetapi dengan cara yang tersendiri. Christian Wolff juga mendapatkan bantuan adiknya iaitu Braxton lakonan Jon Bernthal yang masih mempunyai perhubungan yang agak janggal dengan abangnya itu, tambahan lagi dengan apa yang berlaku di dalam filem pertama. Filem ini juga melibatkan Anais lakonan Daniella Pineda yang merupakan seorang pembunuh upahan di dalam organisasi yang sama dengan Braxton tetapi tanpa dia sedari, penglibatannya adalah lebih daripada itu.

Bermula daripada awal sehingga akhir lagi, filem ini memfokuskan kepada siasatan yang dimulakan oleh Raymond King tersebut, dengan Christian Wolff terus menjadi persona dia yang lain berbanding seorang akauntan. Ia adalah perkara yang baik jika anda menyukai filem genre ini, akan tetapi bagi saya ia menjadikan filem ini sangat tipikal seperti mana-mana filem aksi atau perisikan. Ini ditambah lagi dengan Justine lakonan Allison Robertson seorang yang autistik dan membantu Christian Wolff di dalam mencari informasi, kembali dan dia kini dibantu oleh beberapa lagi kanak-kanak lain, yang membuatkan ia lebih lagi terasa seperti satu filem tipikal perisikan.

Penceritaan secara keseluruhannya masih menarik dengan siasatan itu membawa keputusan yang baik walaupun ia bukan satu permasalahan yang besar. Watak Anais juga dilakukan dengan baik walaupun saya merasakan dia kurang digunakan di bahagian akhir. Cubaan mereka untuk menyiasat adalah menarik untuk diikuti walaupun saya boleh katakan yang ia mudah untuk dijangkakan, tetapi kerana penyampaian-nya yang baik, ia tidaklah membosankan. Jika di dalam filem pertama, ia lebih memfokuskan kepada pembinaan watak Christian Wolff, di dalam filem ini mereka mengembangkan pula perwatakan Braxton terutama melalui perhubungan mereka berdua sebagai adik beradik.

Saya boleh katakan yang dinamik lakonan Ben Affleck dan Jon Bernthal adalah sangat baik dan berkesan membawa seri bagi filem ini, terutama untuk bahagian komedi. Perkara ini serba sedikit membantu untuk menjadikan filem ini disampaikan dengan lebih ringan yang bagi saya adalah baik tetapi mungkin ada yang tidak menyukainya. Manakala perhubungan mereka dengan watak Marybeth Medina tidak menjadi fokus untuk filem ini dan watak Marybeth Medina juga terasa seperti satu watak sampingan sahaja berbanding dua adik beradik tersebut yang bagi saya sedikit mengecewakan.

Adegan aksi filem ini masih lagi memuaskan, dengan penggunaan senjata api, dan Christian Wolff dan Braxton juga bersama dengan lebih awal juga membantu untuk menambahkan lagi aksi yang ada di dalam filem ini. Filem ini masih mengekalkan yang kedua-dua watak ini adalah boleh di-sakitkan dan tidak semestinya lebih hebat daripada semua orang yang serba sedikit membantu untuk menjadikan adegan aksi lebih menarik. Seperti bahagian-bahagian lain untuk filem ini adegan aksi adalah baik tetapi tidak lebih daripada itu dan tidak akan menjadi ingatan lama.

The Accountant 2
Cukup baik sebagai satu filem aksi perisikan, gandingan yang baik di antara Ben Affleck dan Jon Bernthal tetapi watak lain kurang dikembangkan. Satu sekuel yang tidak menjadi lebih ataupun kurang daripada filem sebelum ini, seronok ditonton tetapi tidak akan diingati.
Positif
Gandingan baik Ben Affleck dan Jon Bernthal
Adegan aksi yang banyak
Negatif
Watak lain kurang berkembang
Penceritaan mudah untuk dijangka
7

Leave a Reply

Final Score