Apple Arcade telah mengumumkan yang enam permainan akan disertakan di dalam perkhidmatan tersebut bermula untuk bulan depan iaitu pada 3 April 2025. Daripada enam permainan ini, tiga merupakan permainan klasik ataupun berdasarkan IP klasik seperti Katamari Damacy Rolling LIVE, Space Invaders Infinity Gene Evolve dan RollerCoaster Tycoon Classic+.

Katamari Damacy Rolling LIVE merupakan permainan terbaru berdasarkan IP ini dan merupakan permainan baharu pertama selepas 8 tahun. Ia akan tiba secara eksklusif di Apple Arcade. Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal Katamari yang akan bergolek dan menarik segala barangan di dunia untuk membesarkan diri. Ia diterbitkan oleh Bandai Namco Entertainment.

Taito Corporation pula hadir dengan permainan Space Invaders Infinity Gene yang juga berdasarkan IP klasik, di dalam permainan ini pemain boleh mengubah mod klasik dan juga mod shoot-’em-up yang akan memberikan pengalaman berlainan. Permainan ini akan bermula dengan grafik seperti permainan lama kemudian akan berubah untuk menjadi lebih terkini.

puffies. oleh Lykee Studio merupakan permainan tekaria yang membawa perubahan unik kepada tekaria klasik jigsaw. Pemain perlu menyelesaikan jigsaw yang dilukis tangan untuk mendapatkan pelbagai ganjaran seperti pek pelekat. Ia juga menyertakan leaderboard dan dapat mencabar cabaran harian untuk mendapat skor tertinggi.

Permainan klasik RollerCoaster Tycoon Classic+ oleh Atari membolehkan pemain untuk bermain permainan simulasi pengurusan Roller Coaster yang dilancarkan pada tahun 1999 di platform yang terbaru. Selain permainan pertama, ia juga menyertakan RollerCoaster Tycoon 2 yang dilancarkan pada tahun 2002. Ia sudah dilancarkan sebelum ini, melalui Apple Arcade ia boleh dimainkan secara percuma.

The Game of Life 2+ merupakan permainan susulan untuk The Game of Life oleh Marmalade Game Studio. Ia merupakan permainan papan. Ia kali ini menyertakan lebih banyak pilihan, pengembaraan dan juga kandungan-kandungan yang eksklusif seperti kostum P.E.G dan 10 judul pekerjaan.

Permainan terakhir di dalam senarai ini adalah Sesame Street Mecha Builders+ oleh StoryToys. Di dalam permainan ini, pemain akan melalui pengembaraan STEM dan akan menyelesaikan pelbagai tekaria, mengetahui lanjut mengenai fizik, belajar mengatur cara, mencampurkan warna, menghasilkan muzik dan melakukan pelbagai misi.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+

Leave a Reply