Love Hurts boleh dikatakan satu filem terdiri daripada pakar-pakar di dalam melakukan adegan aksi, pengarah Jonathan Eusebio sebelum ini lebih banyak terlibat dengan stunt, pelakon utama Ke Huy Quan sebelum meletup selepas filem Everything Everywhere All at Once lebih terlibat dengan koreografi untuk adegan aksi dan juga pertempuran. Oleh itu, jika anda sukakan aksi pertempuran ataupun aksi ganas, saya boleh katakan yang filem ini tidak mengecewakan, lebih daripada itu? Tidak banyak yang boleh dicakapkan.
Seperti beberapa filem aksi popular buat masa ini, seperti John Wick, Nobody ataupun mana-mana filem lakonan Jason Statham, Love Hurts juga merupakan filem yang memfokuskan kepada ‘orang biasa’ iaitu di dalam filem ini Marvin Gable lakonan Ke Huy Quan yang bekerja sebagai ejen hartanah, akan tetapi selepas kenalan lama iaitu Rose lakonan Ariana DeBose yang juga menjadi buruan adik kepada Marvin iaitu Kunckles lakonan Daniel Wu, Marvin Gable tiada pilihan untuk menjadi dirinya yang lama iaitu pembunuh.

Perbezaan utama di antara filem ini, dengan filem-filem lain yang saya sebut sebelum ini, watak Marvin Gable walaupun watak utama tidak mengambil pentas utama, sebaliknya ia dikongsi dengan Rose terutama bagaimana Rose yang bagaikan mendesak untuk Marvin Gable menjadi dirinya yang sebenar. Filem-filem lain, biasanya watak utama sendiri yang mendapat motivasi untuk menjadi dirinya, contohnya John Wick untuk membalas dendam, Nobody kerana keadaan dan juga ingin melindungi keluarganya.
Sepanjang filem ini saya boleh katakan watak Marvin Gable terasa seperti lalang, benar filem ini cuba untuk memperlihatkan konflik dalaman Marvin yang tidak ingin kembali menjadi Marvin yang dahulu akan tetapi perkara ini membuatkan ia satu watak yang kurang menarik dan juga lemah dan tidak memberi impak seperti watak-watak hero dalam filem aksi yang lain. Dengan filem ini ditayangkan pada bulan Februari, dan berdasarkan judul, filem ini juga ingin dijadikan sebagai filem “romantik” terutama dengan perhubungan di antara Marvin dan Rose tetapi bagi saya ia lebih kepada gangguan kepada filem ini berbanding perkara yang menarik.
Tambah mengecewakan lagi kerana watak-watak lain yang diperkenalkan seperti ada dua orang yang memburu Marvin, mempunyai perwatakan yang lebih menarik dan saya boleh katakan lebih berwarna. Membuatkan watak Marvin kelihatan bertambah kusam, kekurangan perwatakan ini serba sedikit ditampung oleh adegan aksi dan pertempuran yang baik di dalam filem ini. Aksi ganas diperlihatkan dengan jelas, koreografi perlawanan juga baik, kemas dan kreatif. Dengan adegan ini juga melibatkan beberapa watak yang lain, ia juga tidak bosan ataupun kelihatan sama. Bagi yang menyukai adegan aksi, saya boleh katakan ia masih satu filem yang memuaskan.

Dengan filem berdurasi 1 jam 23 minit sahaja, untuk ‘piawaian’ sekarang, ia bukanlah satu filem yang panjang. Oleh itu, penceritaan yang disampaikan adalah ringkas, pacing bagi saya adalah baik akan tetapi ada masa mereka melakukan penukaran adegan yang serba sedikit mengganggu aliran penceritaan. Bercakap mengenai penceritaan, cerita yang disampaikan adalah mudah untuk dijangka dengan tidak banyak ‘twist’ yang dilakukan, jika ada pun, saya sudah mengetahuinya sebelum didedahkan lagi. Ia cuba menjadi lebih menarik dengan melibatkan keluarga dan percintaan tetapi tidak membantu sangat untuk penceritaan yang akhirnya adalah biasa-biasa sahaja.
Akhir kata, Love Hurts memberikan filem aksi yang menarik tetapi tidak menawarkan perkara tambahan – penceritaan mudah dijangka, watak utama kurang menarik dan tidak banyak perkara yang boleh dibawa keluar selepas tamat tayangan. Bagi yang ingin mengisi masa anda dengan filem aksi, ia masih satu filem yang memuaskan untuk ditonton tetapi tidak lebih daripada itu.
Love Hurts sudah mula ditayangkan di pawagam


