Gladiator filem yang diterbitkan pada tahun 2000 terus menjadi satu filem penting bagi saya kerana penceritaan yang di bawa adalah sesuatu yang mudah diikuti tetapi pada masa yang sama masih mempunyai penceritaan yang epik. Ia merupakan sesuatu yang cuba disampaikan semula melalui filem kedua, Gladiator II tetapi saya boleh katakan di dalam percubaan membawa magis daripada filem pertama, filem kedua ini sedikit hilang arah dan penyampaian sedikit bercelaru.

Filem ini berlaku 16 tahun selepas kejadian filem pertama, selepas Maximus membunuh Commodus, Rom tidak menjadi lebih baik sebaliknya ia menjadi lebih teruk dengan pemerintahan dua emperor kembar iaitu Emperor Geta lakonan Joseph Quinn dan Emperor Caracalla lakonan Fred Hechinger, dengan takhta Rom sepatutnya hak milik Lucius Verus, ibunya Lucilla yang kembali di bawa oleh Connie Nielsen risau dengan keselamatan Lucius telah menghantarnya jauh daripada Rom.

Lucius Verus yang kini sudah menjadi orang dewasa di lakonkan oleh Paul Mescal dan menjadi penduduk di Numidia bersama dengan isterinya. Numidia kemudian diserang oleh Rom dan diketuai oleh Marcus Acacius lakonan Pedro Pascal. Numidia kemudian ditewaskan oleh Rom dan isteri Lucius terbunuh di dalam serangan tersebut yang membuatkan Lucius berdendam dengan Marcus Acacius.

Lucius kemudian dijual sebagai hamba kepada Macrinus lakonan Denzel Washington yang memiliki pahlawan-pahlawan Gladiator. Lucius melibatkan diri dengan pertarungan Gladiator dan berjumpa semula dengan ibunya tetapi dia mendapati yang ibunya sekarang bersama dengan Marcus Acacius, pada masa yang sama Macrinus juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menguasai Rom dan ingin menggunakan Lucius sebagai alat bagi menjayakan perkara tersebut.

Jika melihat kepada penceritaan, ia mempunyai kisah, politik dan drama berbanding filem pertama tetapi bagi saya ia menjadi masalah utama filem ini, kerana terlalu banyak perkara yang berlaku dengan watak yang ingin menjadi penting, ia membuatkan tiada watak yang benar-benar dikembangkan dengan baik. Ini secara langsungnya menjadikan penceritaan kurang epik berbanding sebelum ini.

Ini ditambah lagi watak Lucius bagi saya tidak dapat mengulangi sesuatu yang disampaikan melalui watak Maximus daripada filem pertama. Filem ini cuba untuk menjadikan Lucius seperti Maximus dengan kehilangan isterinya, menjadi hamba, menjadi Gladiator sebelum mempunyai pengikut tersendiri, namun cara ia dilakukan kurang berkesan yang bagi saya masalah utama adalah terlalu banyak watak lain yang ingin mengambil bahagian.

Watak antagonis melalui dua emperor juga tidak dapat menyaingi Commodus sebelum ini, ini ditambah lagi dengan hadirnya watak Marcrinus yang diberi lebih fokus berbanding dua emperor tersebut, ia menjadikan penceritaan sedikit berlainan berbanding filem pertama tetapi di dalam kerumitan penceritaan ini ia membuatkan tiada watak yang benar-benar menyerlah.

Sebagai satu filem Gladiator, sekurang-kurangnya pertempuran yang dilakukan masih lagi baik, dengan rekaan binatang-binatang, serta pentas (termasuk juga Colosseum dipenuhi dengan air) masih memberikan pengalaman aksi yang memuaskan, walaupun saya sedikit terganggu dengan ia sering disunting untuk memperlihatkan reaksi penonton yang gagal untuk menyampaikan emosi yang baik.

Selain itu, produksi untuk filem ini juga nampak gah dengan Rom dihasilkan dengan baik termasuk juga adegan-adegan perang yang berlaku di bahagian awal filem ini. Ia memberikan pengalaman tontonan yang baik tetapi tidak mencukupi untuk menjadikan satu filem yang epik kerana terganggu dengan penceritaan seperti saya nyatakan sebelum ini.

Akhir kata, Gladiator II di dalam percubaan untuk membawa penceritaan yang lebih kompleks dengan lebih ramai watak yang memainkan peranan penting, gagal untuk menjadikan satu penceritaan yang epik seperti yang disampaikan di dalam filem pertama. Watak-watak di dalam filem ini juga kurang menyertalah tidak kira Lucius berbanding Maximus atau Commodus berbanding dua emperor. Ia masih memberikan pengalaman yang baik untuk pertempuran dan nilai produksi tetapi tidak mencukupi untuk menampung kekurangan di dalam penceritaan.

Gladiator II
Dalam percubaan untuk membawa penceritaan yang lebih kompleks dengan lebih ramai watak yang memainkan peranan penting, gagal untuk menjadikan satu penceritaan yang epik seperti yang disampaikan di dalam filem pertama.
Positif
Produksi yang berkualiti
Adegan aksi yang menarik
Negatif
Penceritaan kurang fokus
Tiada watak yang menyerlah
7

Leave a Reply

Final Score