Tahun ini Marvel Studios telah menawarkan kita semua pelbagai siri TV baharu di Disney+. Kesemua siri TV ini berkait antara satu sama lain, di mana ia semua berada dalam dunia yang sama – Marvel Cinematic Universe fasa ke-4. Daripada WandaVision, ke The Falcon and the Winter Soldier, ke Loki, kemudian siri animasi What If…? dan akhirnya penutup tahun ini dengan Hawkeye.

Walaupun hanya sedikit sahaja yang kita nampak kaitannya dengan filem-filem sedia ada dan yang datang. Ini adalah satu persediaan untuk sesuatu yang lebih epik. Artikel ini adalah sambungan kepada ulasan Hawkeye episod satu dan dua, dengan penambahan episod tiga dan empat pula.


Kisah Apa?

Nama pun, Hawkeye – sudah semestinya ia mengisarkan Clint Barton atau nama hero beliau Hawkeye. Selain itu, siri TV ini juga akan memberi fokus kepada ahli baharu pasukan hero MCU – Kate Bishop. Di dalam komik beliau turut digelar sebagai Hawkeye. Siri TV ini akan fokus kepada kisah Clint dan bagaimana Kate memandang beliau sebagai mentor. Sambil itu, Clint juga dalam usaha teruskan kehidupan bersama keluarga selepas peristiwa daripada Endgame.

Episod 1 – Kate Bishop Terus Tunjuk Skil

Dalam episod ini, ia menceritakan sejarah Kate seperti asal-usul dan latar belakang keluarga. Pada awalnya, ia kelihatan sedikit berbeza dengan yang biasa kita lihat. Tetapi sedikit demi sedikit, elemen MCU yang kita semua kenal mula dapat dirasai. Semangat Kate untuk menjadi hero dan mula minat dengan memanah bermula daripada peristiwa Avengers di New York.

Dengan penceritaan yang ringkas serta mudah faham, ia terus memperlihatkan Clint bersama keluarga dan bagaimana Kate boleh “ganggu” hidup beliau untuk terlibat dengan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Secara tidak langsung, mengganggu suasana indah percutian Clint dan keluarga.

Pengenalan Watak Penting Yang Menarik

Episod pertama ini juga dilihat tidak membazir masa dan terus memperkenalkan banyak watak menarik yang penting. Peminat Marvel yang mengikuti komik akan pasti mengenali iterasi-iterasi watak popular komik yang telah diterjemah menjadi aksi nyata. Antaranya adalah Vera Farmiga sebagai Eleanor Bishop iaitu ibu kepada Kate, Tony Dalton sebagai Jack Duquesne yang memainkan peranan sebagai kekasih Eleanor yang mana dalam komik juga beliau adalah mentor awal Clint, kemudian Cade Woodward turut kembali sebagai Laura Barton isteri Clint, turut dilihat ada dalam episod ini adalah bagaimana Kate bertemu dengan anjing Lucky the Pizza Dog yang terkenal dalam komik.

Nama Ronin turut disebut dalam episod ini dan ditekankan dengan lebih agar penonton boleh memahami lagi latar belakang Clint. Musuh Ronin iaitu The Tracksuit Mafia lakonan Aleks Paunovic dan Piotr Adamczyk turut kelihatan.

Misi utama episod ini adalah, bagaimana sut Ronin boleh muncul dan penonton akan dapat saksikan satu watak memakai sut ini. Emosi dan ketidaktenteraman Clint juga jelas diberi fokus seperti bagaimana beliau cuba untuk lupakan kematian Natasha dan melupakan memori ketika beliau menjadi Ronin. Episod awal ini walaupun biasa sahaja, ia cukup menarik kerana penceritaan yang tidak serabut atau terlalu pantas.

Episod 2 – Dinamik Clint & Kate Yang Lucu

Disebabkan ulasan ini tiada beberan, aku akan cuba sampaikan pendapat sahaja. Antaranya adalah penonton boleh lihat yang watak Jack Duquesne yang klise dan mudah diramal ini ada agenda lain yang dirahsiakan. Ibu Kate juga turut memberi satu vibe yang akan ada perkembangan watak yang akan membawa beliau ke satu perubahan yang mungkin akan dibenci penonton.

Episod kedua adalah permulaan aksi yang lebih gempak dan dinamik di antara Clint dan Kate ini mula dilihat. Bagaimana mereka berdua cuba mengenali antara satu sama lain dan bagaimana mereka berdua boleh selesaikan masalah yang berpunca daripada Kate.

Gandingan dua watak ini langsung tidak kelihatan seperti seorang mentor dan anak didik, ataupun ayah dan anak. Tetapi ia lebih kepada konsep buddy cop yang lucu. Clint dengan perwatakan yang malas nak layan, sedikit bengis tetapi dengan prestasi lakonan Jeremy yang memuaskan – sisi watak beliau yang kita tidak pernah lihat dapat dilihat dalam siri ini.

Kate pula lebih kepada gadis yang bersemangat dan tidak mahu mengalah dan tetap degil untuk teruskan apa yang telah dilarang lakukan.

Semakin Mendebarkan, Tapi Tak Terkejar-Kejar

Siri ini hanya ada enam episod, dan dua yang pertama ini pun sudah boleh agak apa yang akan berlaku secara keseluruhan. Tetapi Marvel mungkin boleh sahaja berikan kejutan yang tidak disangka. Cuma, apabila sudah biasa dengan penceritaan MCU – ia memberikan satu perasaan yang membuatkan aku yakin.

Walaupun ini adalah satu cerita yang berlaku di musim percutian Krismas, vibe Die Hard tidak kelihatan pun. Ia mempunyai penceritaan yang amat mudah faham dan tidak rasa serabut pun untuk cuba kaitkan dan meneka apa yang akan berlaku.

Cuma dengan episod yang sedikit, satu kerisauan turut muncul dalam diri aku – yang mana mampu ke Marvel sampaikan cerita yang penonton mahukan. Kita tahu watak Echo akan diberi fokus, pengakhiran filem Black Widow juga memberi petanda akan ada kaitan dengan siri ini, dan adakah Kate akan menggantikan Hawkeye?

Walaupun elemen tipikal MCU itu ada, persoalan di atas masih menjadi misteri. Episod dua ini juga adalah di mana watak Echo mula muncul seperti yang telah didedahkan dalam artikel sebelum ini.

Baca: Apa Yang Patut Anda Tahu Mengenai Siri TV Disney+ Hawkeye?

Episod 3

Setakat ini, siri TV Hawkeye tidak memberikan satu impak yang lebih hebat berbanding siri-siri TV lain sebelumnya. Semasa menonton Hawkeye aku kurang rasa teruja. Adakah kerana tema Krismas? Atau kerana satu lagi kandungan buddy cop? Episod ketiga adalah satu lagi episod yang cuba memancing peminat dengan banyak petunjuk yang mungkin agak mengecewakan.

Cubaan ini membuatkan siri TV dengan enam episod ini rasa kurang menarik dan sedikit bosan. Aku faham yang mereka sampaikan kisah silam Echo/Maya Lopez sahaja. Tetapi ia tidak rasa begitu memuaskan dan ada elemen klise. Walaupun begitu, penceritaan watak ini masih boleh diterima. Skil beliau yang mirip seakan Taskmasters juga boleh kelihatan, tetapi tidak begitu menyerlah.

Perkembangan hubungan di antara Kate dan Clint juga semakin jelas dalam episod ini. Mereka berdua ini amat lucu dan mempunyai dinamik yang unik. Ia sedikit berbeza, walaupun masih format yang dikenali. Adegan aksi dalam episod ini juga cukup menarik, kerana ia adalah adegan kejar-mengejar kereta yang mempunyai sinematografi cantik serta koreografi hebat.

Entah berapa banyak organisasi penjenayah wujud dalam MCU tidak pasti. Kali ini, Bishop Security diberi penekanan penuh. Ia seakan memberi petanda yang syarikat ini akan main peranan besar dalam episod akan datang serta dalam MCU. Tidak lupa juga yang siri ini banyak menceritakan hal-hal yang pernah dilakukan Ronin dan bagaimana Ronin mengubah sejarah perkembangan watak Kate.

Episod ini walaupun ada kelemahannya, ia masih lancar dan berjaya membuat aku faham dan boleh sahaja menerimanya.

Episod 4

Episod empat sekali lagi menceritakan bagaimana hari demi hari hubungan Kate dan Clint semakin erat. Buat pertama kali Clint bertemu dengan keluarga Kate, dan peminat boleh saksikan bagaimana watak Jack diubah untuk versi aksi nyata dan bagaimana watak ini boleh berkait dengan Hawkeye.

Episod ini turut memberi pendedahan lebih kepada Laura Barton yang memberi petanda, beliau mungkin seorang ejen SHIELD yang handal sebelum membina rumah tangga. Selain itu, dalam episod empat ini ia turut lebih kepada bagaimana Clint dan Kate luang masa bersama-sama bagi mengubati rindu Clint terhadap anak-anak dan isteri.

Kate dan Clint juga turut tunjuk lagak sklil dan kongsi sejarah kehebatan masing-masing dalam memanah. Ini memberikan sedikit petunjuk bagaimana episod akan datang akan ada lebih banyak aksi melibatkan skil memanah hebat serta penggunaan panah daripada Stark dan mungkin lagi daripada Pym.

Kali ini ia juga mempunyai jalan cerita yang sedikit lebih perlahan daripada biasa. Ia lebih banyak bercakap dan jujur pendapat aku, aku rasakan ia adalah antara episod yang membazir masa. Episod ini cuba membawa penonton kejutan di penghujung serta aksi yang bakal berlaku.

Kejutan ini tidak terkejut pun dan boleh dijangka. Tetapi penampilan watak misteri tidak ada rasa WOW pun dan hanya rasa OH! Entah kenapa kejutan yang cuba disampaikan dalam Hawkeye ini tidak begitu hebat dan memberikan perasaan teruja.

Episod 5

Hampir 50% dalam episod ini, ia memberi fokus kepada Yelena Belova. Ada sedikit aksi misi lalu dan selebihnya mengenai semangat beliau ingin bunuh Clint Barton/Ronin. Perwatakan Yelena dalam ini amatlah lucu, tetapi apabila mula berlawan wataknya menggerunkan. Yelena yang baru sahaja bertemu dengan kakaknya Natasha (dalam Black Widow), kemudian semasa dalam misi beliau lenyap dan muncul kembali selepas lima tahun. Jadi beliau yang sayangkan kakak dapat tahu telah mati dan Clint terlibat – terus berdendam.

Pada hemat aku tidak adil 50% diberikan kepada Yelena sahaja dan baki 50% lagi dipecahkan kepada kisah Eleanor Bishop, kisah Echo, kisah Ronin dan juga sedikit perkembangan watak Kate Bishop. Memang sedikit kisah mereka, tetapi nasib baik ia tidak disampaikan dengan terkejar-kejar. Cuma dalam satu episod yang singkat ia terasa sedikit mampat kerana terlampau banyak informasi untuk dihadamkan.

Episod ini juga tidak begitu banyak aksi dan lebih kepada drama dan pendedahan satu rahsia demi satu. Ia juga sedikit membosankan dan agak penat untuk cuba layan. Ada juga cubaan memberi kejutan, yang pada hemat aku bolehlah – aku pun rasa terkejut. Cuma sehingga episod kelima ini, aku rasakan Hawkeye antara siri MCU Disney+ yang lemah dari segi penceritaan. Ia cuba membawa elemen Krismas, aksi, drama keluarga dan konflik dendam dalam masa yang sama menjadikan penonton keliru untuk cuba fokus pada yang mana.

Episod 6

Aku jangkakan episod enam/terakhir ini akan menjadi terkejar-kejar kerana terlampau banyak plot perlu disampaikan. Tetapi aku rasa bersyukur dan boleh terima penyampaian cerita dalam episod ini. Dari drama, semua konflik dan perkembangan watak ia ceritanya mudah difahamkan, penuh dengan emosi dan aksi.

Bercakap mengenai aksi, sudah semestinya ada banyak adegan yang gila cool. Kate dan Clint yang kini sah adalah partner mempunyai hubungan yang semakin baik dan saling ada untuk antara satu sama lain pada bila-bila masa. Cara mereka berdua meluangkan masa untuk menghasilkan panah gimik seakan Iron Man menghasilkan sut Mark beliau.

Aksi yang hebat turut kelihatan. Antara yang menarik dan sedikit lucu adalah Jacques Duquesne sebagai Swordsman semakin jelas kelihatan. Cuma tidak pasti apakah nasib watak ini untuk masa hadapan kelak, kerana ia kurang jelas. Aksi Kate juga antara yang dahsyat, cara beliau berhadapan dengan musuh tanpa bantuan Hawkeye cukup hebat dan memuaskan. Ia membuktikan beliau layak menjadi Hawkeye seterusnya.

Antara adegan aksi menarik lain yang membuatkan aku rasa seronok adalah Kate dan Clint berdua menggunakan panah gimik untuk menghentikan sekumpulan gangster. Pelbagai trick arrow dan buat pertama kalinya kostum Hawkeye dan Kate Bishop didedahkan.

Echo juga ditamatkan dengan baik, kerana kisah beliau kelak akan bersambung dalam siri tersendiri. Cara Echo berhadapan dengan musuh juga masih memberi petanda dalam siri Echo akan datang akan ada lebih banyak konflik. Apa-apa pun, episod akhir ini pada hemat aku ia baik sahaja, tidak begitu WOW, tapi okaylah dan boleh layan untuk lihat beberapa fan service menarik.

Oh ya, episod ini juga ada menceritakan sedikit kisah Laura Barton dan watak ini juga ada easter egg yang peminat akan rasa OH WOWWWOWOWOW.


Kesimpulan

Episod 5 dan episod enam, walaupun ia terlampau mampat kerana ada banyak plot yang cuba disampaikan – secara keseluruhan ia agak baik. Episod lima yang perlahan dan sedikit bosan, dipulihkan dengan episod enam yang cukuo menghiburkan. Ada banyak fan service dalam episode ini, yang mana semuanya cukup baik dan turut memberi petanda mengenai penglibatan watak-watak ini dalam masa hadapan MCU akan datang.

Tidak dinafikan yang siri Hawkeye rasa sedikit lemah dan kurang syok berbanding siri TV MCU Disney+ lain. Tetapi untuk apa yang mereka rancang seperti membawa watak-watak ini ke siri TV lain dan mungkin nanti filem pula adalah baik. Ia juga jelas memberi petanda yang Kate Bishop mungkin akan menggunakan nama Hawkeye. Apa-apa pun, untuk drama dan konflik – siri Hawkeye berjaya sampaikan apa yang patut dan bijak dalam susun atur cerita agar ia tidak menjadi serabut.


Hawkeye
Siaran Di Disney+ Hotstar 24 November
Siri TV yang memberi fokus kepada kehidupan Clint Barton selepas Endgame. Sedang berseronok dengan keluarga, Kate Bishop mula muncul dan kecoh mula berlaku. Persoalannya, adakah Clint akan kembali ke keluarga dengan selamat dan adakah Kate ahli Avenger baharu pengganti Hawkeye?
Positif
Aksi panah gimik yang menarik
Penuh dengan 'easter egg' yang memuaskan hati peminat
Memberi Kate Bishop masa hadapan yang cerah dalam MCU
Negatif
Penyampaian cerita yang sedikit perlahan dan bosan
Terlampau banyak plot untuk satu episod
Rasa terlampau padat dan mungkin memeningkan untuk sesetengah penonton
7.5
Skor Ulasan

Leave a Reply

Final Score