Apa Yang Patut Anda Tahu Mengenai Siri TV Disney+ Hawkeye?

Awal pagi tadi, Aksiz berpeluang menyertai sidang media untuk siri TV Hawkeye yang akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 24 November. Pelakon, pengarah dan Kevin Feigi turut terlibat dalam sidang media ini dan telah menjawab beberapa persoalan mengenai siri TV ini serta masa depan Hawkeye dan juga watak Kate Bishop.

Dalam artikel ini akan saya rumuskan, apakah yang telah dibincangkan pagi tadi agar anda semua boleh bersiap sedia sebelum menonton siri TV ini akan datang.


Berikut adalah apa yang dijawab oleh Kevin Feige mengenai elemen persembahan muzikal, pemilihan Hailee Steinfield sebagai Kate Bishop, kenapa setiap adiwira dalam bandar New York tidak bertembung, persoalan mengenai Echo dan juga kenapa memilih tema Krismas.

Elemen muzikal dipilih kerana ingin paparkan konsep di mana Hawkeye dapat melihat diri sendiri beraksi sambil masih berduka melihat penyanyi yang memainkan watak Black Widow. Ia juga adalah masa terbaik untuk seorang bapa membawa anak-anak bercuti dan meluangkan masa bersama-sama.

Semua ini berlaku di musim percutian agar boleh sampaikan lebih emosi yang pelbagai dan untuk enam episod yang berlaku dalam masa enam hari ini dapat menimbulkan persoalan kepada penonton adakah Clint Barton/Hawkeye dapat pulang ke keluarga untuk menyambut musim percutian.

Pemilihan Hailee Steinfield sebagai Kate Bishop adalah mengikut naluri dan beliau tidak lalui uji bakat pun. Selepas melihat kemampuan beliau, ternyata naluri hati mereka benar yang ia adalah pilihan terbaik. Begitu juga dengan keputusan memperkenalkan watak anjing Lucky, dalam komik kalau ada Kate wajib ada Lucky.

Tahun pertama Disney+ sudah tamat dan Marvel Studios masih belum bosan lagi untuk mencuba pelbagai perkara baru. Dengan melancarkan Eternals dan Hawkeye pada bulan sama, ia turut membuka peluang lebih banyak untuk Marvel terokai pelbagai perkara lagi. Dunia Marvel ini luas dan pelbagai dan banyak sub-genrenya.

Benarkah Kate Bishop pengganti Hawkeye, adakah mudah untuk melibatkan diri dalam satu projek besar dan pengalaman daripada watak animasi Spider-Man Into The Spider-Verse ke watak aksi nyata Marvel Studios turut dijawab oleh Hailee Steinfield.

Seperti biasa, soalan hanta seperti ini akan dielak oleh pelakon MCU. Tetapi untuk beliau melibatkan diri dalam projek besar, walaupun sukar kerana berbeza dengan animasi dan filem Transformers – tetapi disebabkan beliau dibantu oleh Jeremy Renner dan mengenali beberapa aspek dalam pengalaman berlakon sebelum ini semuanya menjadi mudah.

Sepanjang kerjaya sebagai lakonan, perkara yang beliau sedari dikatakan adalah memainkan watak wanita yang bersemangat dan ada jati diri untuk tidak mengalah turut membantu beliau menjayakan watak ini. Begitu juga dengan perasaan tidak sabar untuk semua peminat saksikan watak yang popular dalam komik diadaptasi menjadi aksi nyata.

Ini jawapan Jeremy mengenai adegan akhir kredit filem Black Widow serta pengalaman berlakon sebagai watak yang separa pekak.

Sekali lagi, Jeremy mengelak soalan penglibatan beliau dengan Florence Pugh untuk menyelesaikan manipulasi Val kepada Yelena yang Ronin bunuh Natasha. Tetapi dalam siri TV ini penonton akan dapat lihat lanjutan perkembangan watak Clint Barton/Hawkeye seperti melihat dengan jelas “kuasa” adiwira beliau. Kemudian turut akan dapat melihat bagaimana seorang yang masih berduka sejak Endgame dengan perwatakan yang kurang selesa.

Mengenai memainkan watak pekak pula, disebabkan diri sendiri ada ahli keluarga yang pekak dan menggunakan alat bantuan pendengaran jadi mengimplementasikan pada diri sendiri lebih mudah kerana sudah biasa.

Tony Dalton sebagai Jack Duquesne dan Vera Farmiga sebagai Eleanor Bishop turut berkongsi pengalaman melibatkan diri dalam MCU buat pertama kali.

Vera Farmiga jika anda kenali beliau, beliau adalah pelakon bagi watak Lorraine Warren dalam francais The Conjuring. Menurut beliau penghijrahan daripada lakonan watak dalam filem seram ke siri TV adiwira dalam dunia yang besar rasa sangat seronok kerana ada ramai yang memberikan sokongan dan sudah ada fanbase yang besar. Secara tidak langsung berjaya membawakan watak ini ke kaca skrin. Beliau turut mengacah yang watak ini akan bergerak ke arah yang lebih gelap dan sebagai seorang ibu tidak menjadi masalah pun untuk memainkan watak ibu kepada anak yang menjadi adiwira.

Tony Dalton pula kurang bercakap semasa sidang media ini. Beliau seakan buntu dan tidak tahu apa yang boleh didedahkan. Tetapi apa yang jelas adalah, watak beliau yang handal dalam lawan pedang adalah mudah untuk dijadikan realiti kerana pernah belajar dan memang ada skil dengan pedang. Beliau belajar di zaman silam tanpa sengaja dan tidak sangka ia digunakan dalam siri TV ini.

Pengarah siri TV ini Rhys Thomas turut menjelaskan mengenai di sebalik tabir pembangunan siri TV ini. Seperti pemilihan lokasi, serta kostum Ronin yang akan diperlihatkan dalam siri TV ini.

Jika ada yang tertanya kenapa Black Widow filem dan Hawkeye siri TV, jawab beliau adalah kerana dengan siri TV beliau ada masa yang lebih banyak untuk terokai setiap watak dan membantu dalam perkembangan dan pembangunan watak. Pilihan bandar New York juga kerana ia lebih realistik dan konsep menggunakan bandar olok-olok menjengkelkan beliau.

Dalam siri TV ini, Linda Cardellini turut kembali sebagai Laura Barton iaitu isteri kepada Clint/Hawkeye. Menyertakan watak ini turut dapat memberi peluang kepada penonton saksikan kehangatan hubungan mereka berdua. Sekali lagi beliau sentuh mengenai pilihan garis masa yang berlaku di musim percutian adalah kerana untuk fokus watak Clint meluangkan masa bersama keluarga. Disebabkan musim ini adalah musim paling beremosi, ia turut dapat memaparkan usaha watak ini untuk teruskan kehidupan tanpa sahabat karib Natasha Romanoff/Black Widow.

Beliau juga seronok merungkai bahan sumber iaitu komik-komik Marvel untuk menjayakan siri TV ini. Tidak dinafikan yang Die Hard turut diambil inspirasi menjadikan Hawkeye sebagai cerita musim Krismas yang penuh dengan nilai kekeluargaan dan padat dengan aksi. Penonton turut akan dapat melihat kembali kostum Ronin dalam siri TV ini, di mana ia adalah kostum yang sama daripada Endgame dan Kate Bishop akan memakainya.

Hailee dan Jeremy turut kongsi mengenai dinamik dua watak ini.

Ia adalah satu hubungan yang rumit, tetapi dengan memahami konsep buddy cop ia mudah diterjemah dan disampaikan untuk peminat saksikan. Kemudian watak Kate Bishop pula yang sedia memandang Clint sebagai hero dan inspirasi, ia mmeberikan semangat untuk terus cuba bersama-sama beraksi apabila ada peluang – menjadi anak didik.


Hawkeye akan disiarkan di Disney+ Hotstar di Malaysia pada 24 November ini.

Sohor Kini