Selepas sekian lama tidak mendengar khabar mengenai Captain America, semalam selepas tamatnya siri TV The Falcon and the Winter Soldier di Disney+ dengan episod keenam – pelbagai kejutan Marvel dan Disney berikan. Menjadikan siri TV ini antara yang terbaik dalam sejarah Marvel. Bayangkan, penulisan skrip yang baik, lakonan yang baik, penceritaan yang hebat, gempak – siri TV ini akan dimasukkan dalam kategori drama untuk anugerah Emmy.

The Hollywood Reporter melaporkan yang, Malcolm Spellman selaku penerbit dan penulis siri TV ini akan meneruskan bakat beliau untuk filem Captain America 4. Dalan Musson turut akan menjadi penulis skrip bersama. Melalui bakat mereka berdua, siri TV Falcon and the Winter Soldier ini memfokuskan bagaimana kerajaan bersifat tidak adil kepada rakyat. Lebih-lebih lagi mereka yang berkulit gelap. Sam Wilson/Falcon, menjadi hero mempertahankan hak dan menuntut keadilan.

Sehingga hari ini, Chris Evans adalah Captain America untuk MCU. Captain America: The First Avenger (2011), Captain America: The Winter Soldier (2014), Captain America: Civil War (2016), dan pencen dalam Avengers: Endgame dengan menyerahkan perisai beliau kepada Falcon. Dengan siri TV ini juga memfokuskan kepada siapakah yang lebih layak menjadi Captain America, masa hadapan filem ini ada banyak potensi.

Chris Evans sebelum ini dilaporkan telah menandatangai kontrak untuk satu filem lagi untuk projek Marvel dan bebas diteruskan jika beliau mahu. Mungkin Captain America tua akan muncul? Mungkin Captain America baharu akan diperlihatkan dengan lebih jelas? Atau filem ini akan kembangkan lagi watak John Walker? Dalam komik Winter Soldier juga pernah menjadi Captain America, jadi Bucky pula akan mengendalikan perisai dengan bintang dan jalur ikonik ini?

Seperti biasa, banyak yang Marvel sembunyikan. Pelakon, jalan cerita, dan lain-lain masih tidak diketahui. Dengan banyak projek MCU sudah beratur menunggu giliran, filem ini mungkin hanya akan tiba 2-3 tahun lagi atau mungkin ada kejutan lain? Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply