Konsol permainan Nintendo Switch boleh dikatakan peranti permainan video yang paling laku hari ini. Di negara asalnya, Jepun sahaja, ia sering dijual dengan laku setiap bulan, dan kini dengan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia, lebih ramai inginkannya untuk mengisi masa lapang mereka.

Japan Times baru-baru ini telah melaporkan bahawa Nintendo telah menggantung penghantaran konsol tersebut ke negara Jepun buat masa ini akibat wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.

Penggantungan ini melibatkan kedua-dua konsol Nintendo Switch Enhanced dan juga Nintendo Switch Lite untuk pasaran negara matahari terbit tersebut.

Kilang-kilang pembuatan Nintendo Switch terletak di China dan Vietnam, dan sebelum ini, pihak Nintendo telahpun mengatakan bahawa stok konsol akan berkurangan bermula bulan Februari dahulu, dan oleh kerana wabak COVID-19 menjadi semakin teruk, nampaknya mereka tidak boleh menghantar konsol-konsol tersebut ke negara Jepun.

Walaupun begitu, pasaran-pasaran lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah masih akan menerima penghantaran konsol Nintendo Switch ini, bergantung kepada kapasiti kilang-kilang tersebut. Buat masa ini, Nintendo tidak mengesahkan bilakah penghantaran untuk peranti-peranti mereka akan bersambung.

Isu stok ini juga mungkin adalah mengapa harga untuk konsol ini meningkat dengan mendadak di Malaysia kebelakangan ini.

Leave a Reply