Sedikit berbeza dengan naratif epik mengenai perhubungan antara manusia dan dewa dalam naskhah agung Homer, pengarah Christopher Nolan memilih pendekatan yang lebih memanusiakan watak dalam adaptasi terbaharu The Odyssey. Pendekatan ini merupakan kekuatan utama filem ini; ia menyuntik jiwa ke dalam penceritaan dan mengurangkan elemen fantasi yang lazimnya mendominasi mitologi dewa-dewi. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, gaya penyampaian ini kadangkala menyebabkan beberapa babak terasa janggal dan sedikit terputus.

Filem ini sememangnya berkait rapat dengan Perang Trojan yang masyhur. Namun, mengambil inspirasi daripada sumber asalnya, naskah ini lebih tertumpu kepada peristiwa selepas peperangan. Hal ini kerana pertempuran berdarah tersebut lebih disampaikan secara mendalam melalui satu lagi karya epik Homer, iaitu Iliad. Oleh itu, jangan jangkakan sebuah filem yang padat dengan aksi peperangan berskala besar. Pun begitu, Nolan masih bijak menyelitkan elemen tersebut pada kadar yang mencukupi untuk memberi konteks kukuh kepada penceritaan Odysseus, seorang raja yang didorong oleh satu matlamat utama: pulang ke tanah air.

Watak utama, Odysseus (lakonan Matt Damon), merupakan Raja Ithaca, sebuah negara yang terheret ke kancah Perang Trojan. Selepas meraih kemenangan, dia hanya mahu pulang ke pangkuan isterinya, Penelope (Anne Hathaway) dan anak lelakinya, Telemachus (Tom Holland). Apa yang sepatutnya menjadi satu pelayaran pulang yang menggembirakan, bertukar menjadi ujian ketahanan fizikal dan mental yang amat mencabar. Kerinduan terhadap keluarga menjadi semakin berat apabila mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan termasuk krisis kelaparan, kehilangan arah di lautan, serta campur tangan entiti dewata.

Seperti yang dinyatakan, Nolan masih mengekalkan campur tangan dewa-dewi dalam pelayaran Odysseus, tetapi dengan penyampaian yang jauh berbeza daripada naskhah Homer. Penglibatan mereka tidak ditonjolkan secara langsung, sebaliknya dilakukan melalui kejadian alam. Hanya Athena (Zendaya) dan Calypso (Charlize Theron) diperlihatkan berinteraksi dengan lebih dekat bersama Odysseus.

Bagi saya, pilihan kreatif ini amat tepat kerana ia memastikan fokus naratif kekal pada peribadi Odysseus berbanding kemelut politik dewa-dewi. Namun, keputusan ini turut mengundang kelemahan. Sebagai contoh, apabila tindakan Odysseus dan tenteranya membangkitkan kemurkaan Poseidon, ia sekadar disampaikan melalui dialog ringkas dan visual laut bergelora, tanpa memperlihatkan susuk Poseidon secara fizikal menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Tambahan pula, watak dewata seperti Calypso ditampilkan dengan elemen yang lebih ‘berselindung’ melalui imbas kembali atau ilusi. Walaupun pendekatan ini penting dari segi plot, ia serba sedikit merencatkan kelancaran cerita.

Kekurangan fokus terhadap politik dewa-dewi, bagaimanapun, diimbangi dengan percaturan politik manusia yang mendalam. Ketiadaan Odysseus lebih 10 tahun di Ithaca menyebabkan negara itu dilanda ketidakstabilan. Istana Odysseus dipenuhi para pelamar yang rakus berhibur sambil mendesak Penelope memilih suami baharu, suatu situasi yang dibenci oleh Telemachus, namun dia terikat dengan adat. Salah seorang pelamar tersebut ialah Antinous (Robert Pattinson), watak antagonis licik yang sanggup melakukan apa sahaja demi merampas takhta.

Melalui kemelut politik ini, sub-plot Penelope dan Telemachus dikembangkan dengan sangat berkesan. Penelope digambarkan sebagai susuk isteri yang sarat dengan kerinduan, tetapi kekal utuh melindungi maruah negara. Sementara itu, Telemachus, yang masih bayi ketika ditinggalkan, kini nekad menjejaki nasib bapanya sambil cuba mengelak daripada menjadi mangsa kerakusan para pelamar. Penceritaan mereka berdua yang terpisah jauh daripada Odysseus berjaya dianyam dengan teliti, lantas mencipta rantaian emosi yang mendalam dan saling berhubung.

Dari sudut sinematografi dan arahan, ia adalah sebuah penyampaian berskala epik yang luar biasa. Nolan berjaya menterjemahkan setiap adegan dengan visual yang tajam; setiap inci emosi dipaparkan dengan telus berserta skala set yang benar-benar menghidupkan suasana. Sama ada ketika babak peperangan, pertemuan mengerikan dengan gergasi bermata satu, badai taufan di lautan, mahupun strategi Kuda Trojan yang sering diromantiskan, semuanya digarap dengan sentuhan realisme yang membawa pengalaman baharu kepada kisah-kisah tersebut.

Sesuatu cadangan yang lebih bersifat peribadi, filem ini memiliki kekuatan penceritaan yang mampu memukau penonton di mana-mana panggung. Namun, sangat disarankan agar anda menontonnya di pawagam yang dilengkapi sistem audio dan paparan gred premium untuk merasai pengalaman sinematik yang optimum, kerana filem ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi tersebut.

Dari aspek persembahan, keputusan Nolan untuk mengarahkan barisan pelakon membawa gaya lakonan yang lebih moden dan tidak terlalu terikat dengan “sumber asal” adalah langkah yang sangat saya gemari. Penonton dapat menghayati penceritaan dengan lebih santai tanpa berasa terbeban dengan dialog atau lenggok bahasa purba yang mungkin terasa canggung. Pemilihan pelakon, termasuk dari segi kepelbagaian warna kulit, tidak menjadi isu langsung kerana bakat mereka berjaya memberi nyawa yang meyakinkan kepada filem ini.

Akhir kata, adaptasi The Odyssey oleh Christopher Nolan ini berjaya melepasi sempadan tipikal sebuah filem mitologi dengan menonjolkan nilai kemanusiaan yang tulen dan mencengkam jiwa. Sungguhpun percubaan untuk ‘membumikan’ watak dewa-dewi kadangkala membuatkan naratif terasa sedikit tempang, ia berjaya ditutup rapi oleh kecemerlangan sub-plot politik Ithaca, lakonan memukau barisan pelakon gred-A, dan skala sinematografi yang cukup gah. Ia bukan sekadar satu pelayaran menelusuri lautan purba, tetapi satu paparan realistik tentang harga sebuah kelangsungan hidup, kesetiaan, dan erti sebenar sebuah rumah. Sebuah naskhah yang saya tidak mempunyai masalah untuk cadangkan kepada semua.

The Odyssey
Filem ini berjaya melepasi sempadan tipikal sebuah filem mitologi dengan menonjolkan nilai kemanusiaan yang tulen dan mencengkam jiwa. Sungguhpun percubaan untuk 'membumikan' watak dewa-dewi kadangkala membuatkan naratif terasa sedikit tempang, ia berjaya ditutup rapi oleh kecemerlangan sub-plot politik Ithaca, lakonan memukau barisan pelakon gred-A, dan skala sinematografi yang cukup gah. Ia bukan sekadar satu pelayaran menelusuri lautan purba, tetapi satu paparan realistik tentang harga sebuah kelangsungan hidup, kesetiaan, dan erti sebenar sebuah rumah. Sebuah naskhah yang saya tidak mempunyai masalah untuk cadangkan kepada semua.
Positif
Skala Penyampaian yang epik
Kisah yang memfokuskan kemanusian
Lakonan berkualiti
Negatif
Penglibatan dewa-dewi sedikit janggal
10

Leave a Reply

Final Score