Dunia perfileman berduka atas pemergian pelakon veteran, Sam Neill, yang disahkan meninggal dunia pada usia 78 tahun di Sydney, Australia pada hari Isnin.

Berita mendukacitakan itu dikongsi oleh pihak keluarga mendiang menerusi satu kenyataan rasmi. Walaupun mendiang sebelum ini pernah didiagnosis menghidapi kanser limfoma T-sel angioimunoblastik tahap 3 selepas selesai penggambaran Jurassic World Dominion pada tahun 2022, pihak keluarga mengesahkan bahawa pemergiannya adalah secara mengejut dan mendiang berada dalam keadaan bebas daripada kanser.

Sepanjang lebih 50 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, nama beliau paling sinonim dengan watak pakar paleontologi, Dr. Alan Grant, menerusi filem Jurassic Park (1993), Jurassic Park III (2001), dan Jurassic World Dominion (2022) termasuk juga menjadi pelakon suara untuk permainan video Jurassic World Evolution.

Dilahirkan di Ireland Utara dengan nama Nigel John Dermot Neill sebelum dibesarkan di New Zealand, beliau mengatasi masalah gagap yang dihadapi sewaktu kecil sebelum memulakan kerjaya lakonan. Portfolio seni beliau merangkumi pelbagai genre termasuk filem seram Omen III: The Final Conflict dan Possession pada tahun 1981, filem suspen Dead Calm (1989), hinggalah ke filem aksi komersial seperti The Hunt for Red October (1990) dan drama tercalon Oscar, The Piano (1993). Beliau juga aktif menghiasi skrin televisyen menerusi siri Reilly: Ace of Spies dan The Tudors.

Antara penampilan terbaharu beliau termasuk filem komedi kembara Hunt for the Wilderpeople (2016), penampilan khas dalam Thor: Ragnarok serta Thor: Love and Thunder, dan projek akhir beliau bersama Netflix menerusi siri Untamed serta siri The Twelve, dengan filem terakhir Godzilla x Kong: Supernova dan The Last Resort akan diterbitkan tahun depan. Mendiang meninggalkan dua orang anak, Tim dan Elena.

Gambar: Untamed. Sam Neill sebagai Paul Souter. Kredit: Ricardo Hubbs/Netflix © 2025

Leave a Reply