Garena bakal memulakan sambutan ulang tahun ke-9 bagi permainan Battle Royale mereka, Free Fire, bermula 24 Jun hingga 26 Julai 2026. Sambutan yang membawakan tema “Fighting in Unison, Partying as One” ini memperkenalkan rombakan lobi terbesar dalam sejarah permainan tersebut, berserta pengenalan sistem mekanik baharu dan pelbagai ganjaran eksklusif.

Tarikan utama kemas kini ini ialah pengenalan Lobi Parti 3D interaktif yang menggantikan lobi klasik. Ruang sosial baharu yang diinspirasikan oleh Stadium Ulang Tahun Ke-9 ini menyediakan pelbagai aktiviti multi-pemain seperti lantai tarian dengan ciri Group Dance Captain, launch pads, jongkang-jongkit, dan bangku interaktif. Elemen kompetitif turut ditambah melalui Arena Showdown yang menyertakan fungsi ramalan secara langsung, di samping ciri sosial lain seperti Saddle Brawl dan kesan perubahan saiz karakter.

Dari segi corak permainan, mod Battle Royale dan Clash Squad menerima dua sistem mekanik baharu iaitu Skill Boost System dan Weapon Awakening Mechanism. Skill Boost System membolehkan pemain menyesuaikan laluan kemahiran untuk lapan karakter iaitu Alok, Chrono, Homer, Kassie, Koda, Oscar, Skyler, dan Wukong. Sementara itu, Weapon Awakening Mechanism membenarkan penggunaan Weapon Awakeners untuk menaik taraf prestasi mana-mana senjata di dalam permainan.

Khusus untuk mod Battle Royale, mekanik baharu kini membolehkan pemain menghidupkan semula rakan sepasukan yang telah tersingkir. Pemain juga boleh menyelesaikan Anniversary Quests di lokasi tertentu dan mesin jualan untuk membuka ganjaran kumpulan, kesan khas, serta diskaun. Tugasan tersebut merangkumi aktiviti menembak Anniversary Fragments, mengumpul syiling melalui pelantar lompat, dan membina semula pedang di medan tempur. Kawasan tumpuan baharu iaitu 9th Anniversary Party Venue turut diperkenalkan bersama animasi keadaan tumbang baharu dan fungsi interaksi Fist Bump selepas perlawanan.

Sepanjang tempoh acara, pemain boleh mendapatkan pelbagai ganjaran dengan menyelesaikan sasaran yang ditetapkan. Antara barangan yang ditawarkan termasuk Beg Galas ulang tahun ke-9 yang direka oleh komuniti, Male Bundle (Flowing Fracture Bundle), hiasan senjata PARAFAL yang dinaik taraf, serta hiasan Katana. Koleksi premium lain seperti Male Bundle dengan kesan visual khas, senjata AUG EVO Gun yang dilengkapi kesan bunyi serta reka bentuk skop baharu, serta Group Skydive dan Group Travel Emotes turut disediakan.

Bagi kandungan Craftland, dua peta rekaan pemain iaitu Free Garden dan Steal A Pet akan menerima rekaan semula bertemakan ulang tahun ke-9. Peta Free Garden menampilkan acara Energy Storm untuk penukaran ganjaran, manakala Steal A Pet menganjurkan acara dua minggu untuk pengumpulan mata. Selain itu, lagu tema rasmi bertajuk “Made for the Fire” bakal dilancarkan di saluran Spotify rasmi permainan ini pada 24 Jun.

Free Fire boleh dimuat turun untuk iOS dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.

Leave a Reply