Filem terbaharu terbitan Sony Pictures, Spider-Man: Brand New Day, bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 30 Julai 2026. Bagi pasaran Malaysia, filem ini akan ditayangkan secara eksklusif dalam format panorama 270-darjah di dua lokasi ScreenX kendalian Golden Screen Cinemas (GSC), iaitu Aurum Theatre di The Exchange TRX dan GSC 1 Utama.
Tiket awal untuk menyaksikan tayangan dalam format premium ini kini sudah mula dijual dan boleh dibeli melalui aplikasi serta laman web rasmi GSC.

Naskhah arahan Destin Daniel Cretton ini mencatatkan sejarah tersendiri sebagai filem Spider-Man pertama yang menggunakan inisiatif “Shot for SCREENX”. Melalui kaedah ini, syarikat teknologi pawagam CJ 4DPLEX telah bekerjasama secara langsung dengan pihak pembikin filem sejak dari fasa penggambaran di set lagi. Format ScreenX berfungsi memaparkan babak-babak terpilih melangkaui bingkai skrin utama dan meluas ke bahagian dinding kiri serta kanan dewan tayangan bagi memberikan visual yang lebih menyeluruh.
Dari segi jalan cerita, Spider-Man: Brand New Day memfokuskan kepada fasa baharu kehidupan Peter Parker yang bertarung mengekang jenayah sepenuh masa sebagai Spider-Man. Di samping berdepan tekanan melihat rakan-rakan lamanya meneruskan kehidupan dalam realiti dunia yang kini langsung tidak mengingati identitinya, Peter mengalami satu transformasi dalaman yang sukar dikawal. Walau bagaimanapun, perubahan tersebut mungkin menjadi satu-satunya senjata untuk menghalang ancaman baharu daripada musuh misteri yang tidak dapat dilihat.
Filem yang ditulis oleh Chris McKenna, Erik Sommers, dan Justin Kuritzkes ini menampilkan barisan pelakon utama seperti Tom Holland, Zendaya, Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando, serta Mark Ruffalo.


