Honor of Kings melancarkan kemas kini kandungan utamanya bagi tahun 2026 melalui pengenalan HOK Plus 2.0. Langkah ini membawakan pelbagai pembaharuan merangkumi pengenalan watak baharu, penyertaan watak daripada Arena of Valor, pengenalan mod permainan baharu, serta pelbagai pengoptimuman sistem untuk keselesaan pemain.
Antara perkara utama kemas kini ini adalah pengenalan Devara, watak Clash Lane baharu yang dibangunkan berasaskan budaya tradisional India. Watak tersebut membawakan mekanik serangan jarak dekat menggunakan kuasa petir, dengan klasifikasi gaya permainan sebagai Burst Fighter dan Thunder Wizard.
Pemain boleh mendapatkan Devara pada harga 13,888 Gold atau 588 Token, dengan tawaran diskaun 50% pada minggu pertama pelancarannya. Selain itu, tiga watak daripada Arena of Valor iaitu Annette (Support), Lorion (Mage), dan Florentino (Fighter) kini diserap masuk ke dalam permainan.
Bagi mematangkan ekosistem permainan, HOK Plus 2.0 memperkenalkan sistem ekonomi berasaskan pemain yang dikenali sebagai Grand Venture. Melalui sistem ini, pemain yang aktif melengkapkan tugasan harian boleh menjual atau melelong barangan yang diperoleh menerusi Consignment Shop untuk mendapatkan Exchange Token, yang kemudiannya boleh ditebus dengan ganjaran eksklusif dalam permainan.
Pihak pembangun turut melaksanakan penambahbaikan QoL bagi memastikan kelancaran permainan pada pelbagai spesifikasi peranti iOS dan Android. Antara langkah yang diambil termasuklah pengecilan saiz pakej pemasangan, pengurangan muat turun yang tidak diperlukan, serta pengenalan panduan berasaskan bab untuk pemain baharu. Sistem kawalan dalam perlawanan kini dijadikan lebih responsif, di samping peningkatan kualiti visual dan penaiktarafan ruang lobi melalui pengenalan Galeri Peribadi.
Kemas kini ini turut disusuli dengan pelbagai acara ganjaran, antaranya Grand Bounty Day pada 27 Jun yang membolehkan pemain menuntut ganjaran percuma bernilai sehingga 4,000 Baucar Token pada hari tersebut sahaja, daripada keseluruhan pengagihan melebihi 10,000 Baucar Token sepanjang tempoh 17 Jun hingga 26 Julai. Semua watak dan skin yang dilancarkan sebelum 17 Jun 2026 juga akan dibuka secara percuma untuk penggunaan dari 27 Jun hingga 3 Julai.
Bagi pasaran Malaysia, acara ‘Rezeki Stream HOK’ berlangsung dari 17 hingga 27 Jun, menampilkan lebih 30 pencipta kandungan tempatan seperti Noel, Ikuto, Adam Spartanker, Sagi, dan Oppa Fanci yang bersaing untuk kolam hadiah penstriman bernilai US$10,000. Ganjaran fizikal seperti peranti iQOO, iPhone, dan Nintendo Switch 2 turut ditawarkan melalui musim baharu HOK Benefits.
Dari aspek kandungan komuniti, HOK Studio mengumumkan polisi insentif baharu bermula 1 Jun dengan mengubah format pertandingan kepada ranking serantau bagi meningkatkan peluang pencipta kandungan tempatan memenangi ganjaran Token tambahan sehingga 20,000 Token. Program HOK Advanced Creator juga kini dibuka di semua rantau secara rasmi untuk pencipta kandungan berprestasi tinggi.
Sebagai pengisian mod bermusim, mod Super Flow Brawl 2.0 akan dibuka bermula 27 Jun ini, memperkenalkan laluan talent utama baharu yang membolehkan pemain menggabungkan variasi kombinasi secara bebas mengikut situasi pertempuran secara dinamik.
Sementara itu, arena esukan tempatan menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah bagi Kelayakan Esukan Sukan Asia 2026: Honor of Kings yang berlangsung dari 13 hingga 21 Jun. Sebanyak 20 pasukan sedang bersaing bagi merebut baki slot ke acara utama Sukan Asia Ke-20 di Nagoya, Jepun, untuk menyertai barisan negara yang telah layak secara automatik iaitu China, Malaysia, dan Thailand.


