Rockstar Games telah mengumumkan kemas kini utama seterusnya untuk GTA Online yang berjudul The Kortz Center Heist. Kemas kini ini dijadualkan pelancarannya pada bulan Julai ini dan akan ditawarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, dan PC.

Fokus utama kemas kini ini adalah serbuan ke atas galeri Kortz Center di kawasan Pacific Bluffs untuk mencuri karya seni. Bagi mengakses kandungan ini, pemain diwajibkan untuk membina ruangan Art Studio pada hartanah Mansion mereka. Secara struktur, The Kortz Center Heist direka sebagai misi berbilang peringkat. Pemain perlu meninjau lokasi kompleks tersebut dan memilih pendekatan strategik untuk menyusup masuk serta melarikan diri. Misi ini menyokong mod permainan secara solo sepenuhnya bagi pemilik Mansion, atau boleh dimainkan secara koperasi bersama pasukan.

Selari dengan pengumuman kemas kini baharu ini, Rockstar turut melaksanakan program naik taraf percuma bermula hari ini. Pemilik versi digital Grand Theft Auto V di PlayStation 4 dan Xbox One kini boleh mendapatkan versi PlayStation 5 dan Xbox Series tanpa sebarang kos tambahan. Versi konsol generasi terkini ini membawakan penambahbaikan teknikal, fungsi pemindahan fail simpanan untuk mod penceritaan dan dalam talian, naik taraf kenderaan Hao’s Special Works, serta ciri Career Progress.

Dalam masa yang sama, pemain platform PC tidak dipinggirkan apabila mereka turut menerima naik taraf percuma daripada versi Legacy kepada versi Enhanced. Peralihan ini memperkenalkan sokongan grafik lanjutan khusus untuk PC, termasuk ciri paparan ray traced ambient occlusion dan global illumination.

Menjelang pelancaran pada bulan Julai, Rockstar akan mengadakan pelbagai acara dalam permainan yang menumpukan kepada ganjaran bonus GTA$ dan diskaun. Pemain juga berpeluang mengumpul barangan eksklusif melalui program Fine Art Collector. Bagi ahli langganan GTA+, mereka diberikan kelebihan tambahan berupa potongan harga sebanyak GTA$2,000,000 untuk pembelian hartanah di bawah Prix Luxury Real Estate. Mod penceritaan Grand Theft Auto V juga kini boleh diakses secara terus melalui penawaran GTA+ Games Library. Akhir sekali, promosi masa terhad kini dibuka kepada semua pemain yang memberikan bonus mata wang sebanyak 40% untuk setiap pembelian Shark Cards.

Leave a Reply