Apple TV secara rasmi mengumumkan pembaharuan siri dokumentari travelog popular, The Reluctant Traveler With Eugene Levy, untuk musim keempat. Musim baharu yang akan mengandungi lapan episod ini bakal menyaksikan hos dan penerbit eksekutifnya, Eugene Levy, mengambil pendekatan berbeza dengan memilih untuk berkata “ya” kepada pelbagai pengalaman pengembaraan yang sebelum ini sering dielakkannya.

Pemenang Anugerah Emmy menerusi siri Schitt’s Creek tersebut menyatakan bahawa selepas tiga musim mengembara, beliau menyedari dirinya sebenarnya lebih berani daripada apa yang disangkakan. Bagaimanapun, beliau mengakui langkah keluar daripada zon selesa ini tetap dilakukan dengan penuh berhati-hati. Musim terdahulu siri ini pernah menarik perhatian global melalui episod khas bersama Putera William, selain menampilkan bintang jemputan seperti Michael Bublé dan anak perempuan Levy, Sarah. Barisan tetamu khas untuk musim keempat akan diumumkan kelak.

Siri ini diterbitkan untuk Apple TV oleh syarikat produksi Twofour. Selain Levy sendiri, barisan penerbit eksekutif yang menggerakkan projek ini terdiri daripada David Brindley, Nic Patten, Lily Fitzpatrick, Iain Peckham, dan Adam Barry.

Sepanjang siarannya, siri travelog hibrid komedi ini telah menerima pelbagai pengiktirafan industri. Antaranya termasuk memenangi kategori Siri Kembara/Pengembaraan Terbaik dan Siri Tanpa Struktur Terbaik di Critics Choice Real TV Awards, serta Rancangan Variasi atau Realiti Terbaik di Imagen Awards. Siri ini juga pernah dicalonkan dalam Anugerah Emmy bagi kategori Siri Bukan Fiksyen Berhos atau Khas Terbaik serta Penulisan Terbaik untuk Program Bukan Fiksyen.

Bagi peminat di Malaysia, kesemua tiga musim terdahulu siri ini sudah boleh distrim sepenuhnya melalui platform Apple TV atau menerusi aplikasi Apple TV pada harga RM29.90 sebulan. Pelanggan baharu akan menerima tempoh percubaan percuma selama tujuh hari. Bagi pengguna yang membeli dan mengaktifkan peranti Apple terbaharu seperti iPhone, iPad, Apple TV, atau Mac, mereka layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.

Leave a Reply