The Pokémon Company telah mengumumkan siri acara dan aktiviti bersempena sambutan ulang tahun ke-30 francais berkenaan, dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pelancaran serantau di Asia. Melalui maklumat yang dikongsi dalam satu sidang media hari ini, sambutan berskala besar yang dinamakan sebagai “PokéXciting!” ini bakal membawakan pelbagai aktiviti di sekitar ibu kota termasuk pertunjukan dron pertama di Malaysia, acara larian interaktif, serta pembukaan kedai sementara (pop-up store) rasmi Nintendo dan Pokémon Center buat julung kalinya di negara ini.

Acara utama PokéXciting! dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 13 September 2026 di Taman KLCC dengan akses kemasukan percuma untuk orang awam. Tarikan utama bagi edisi Kuala Lumpur ini merupakan pertunjukan dron Pokémon yang pertama kali diadakan di Malaysia, menampilkan formasi lampu dan animasi 3D watak-watak popular di ruang udara. Selain itu, pengunjung bakal menyaksikan persembahan pentas daripada PokéXciting! Pikachu yang akan mengenakan kostum khas berwarna biru firus (Turquoise) yang eksklusif untuk Kuala Lumpur. Pikachu versi khas ini juga akan memunculkan diri dalam permainan mudah alih Pokémon GO melalui acara digital khas yang berkaitan. Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada lima bandar Asia yang terlibat dalam siri jelajah ini selain Taipei, Singapura, Manila, dan Bangkok.

Hasil kerjasama rasmi dengan KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH), pusat beli-belah baharu Ombak KLCC akan menempatkan Nintendo POP-UP STORE dan Pokémon Center POP-UP STORE yang pertama di Malaysia. Kedua-dua kedai tersebut akan beroperasi bagi tempoh terhad bermula dari 12 September sehingga akhir Disember 2026. Nintendo POP-UP STORE akan menawarkan barangan rasmi daripada pelbagai francais popular mereka termasuk rekaan eksklusif menampilkan Mario dan rakan-rakan. Sementara itu, Pokémon Center POP-UP STORE pula bakal menjual barangan asli seperti permainan kad imbasan, patung mainan (plush toys), serta barangan eksklusif ulang tahun ke-30, di samping menyediakan ruang pengalaman bermain dengan kerjasama Nintendo.

Bagi peminat aktiviti rekreasi, acara larian interaktif Pokémon RUN 30: Edisi Malaysia akan dianjurkan pada 21 hingga 22 November 2026 sebagai sebahagian daripada sembilan acara larian yang dirancang di seluruh Asia. Peserta larian akan melalui laluan bertema dengan pelbagai cabaran interaktif seperti Gym Battles, menemui Pokémon liar, serta melengkapkan Pokédex Search Sheet. Setiap peserta berdaftar akan menerima Runner’s Kit khas yang mengandungi sehelai baju-T tajaan UNIQLO. Acara ini turut menyediakan Festival Zone yang dibuka percuma kepada orang ramai, menempatkan terowong masa (Time Tunnel) sejarah 30 tahun Pokémon serta kedai jualan barangan khas. Maklumat lanjut mengenai lokasi spesifik dan waktu larian akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pegawai Korporat The Pokémon Company, Susumu Fukunaga, menyatakan bahawa pemilihan Kuala Lumpur sebagai destinasi permulaan siri jelajah ini adalah untuk menghargai sokongan para peminat di rantau Asia selama tiga dekad sejak peluncuran permainan video pertama, Pokémon Red dan Pokémon Green pada tahun 1996 untuk platform Game Boy. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCCH, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, turut menambah bahawa kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menghidupkan suasana bandar melalui penawaran pengalaman kepada pengunjung domestik mahupun antarabangsa.

Leave a Reply