Kemaskini: TGV juga mengumumkan perkara yang sama dengan pawagam mereka di Toppen, Bukit Indah, Tebrau City dan Tasek Central ditutup sementara sehingga 7 malam, 17 Jun 2026.
Mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, seluruh rangkaian Golden Screen Cinemas (GSC) dan Aurum Theatre di Johor Bahru akan menghentikan semua operasi tayangan secara rasmi bermula jam 7:00 malam ini, 16 Jun 2026. Penutupan selama 24 jam ini dilaksanakan bagi menghormati sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah) 1448H. Peminat filem hanya boleh kembali menonton di pawagam selepas operasi disambung semula sepenuhnya pada jam 7:00 malam, 17 Jun 2026.
Penutupan sementara ini membatalkan semua jadual tayangan filem secara automatik di enam lokasi utama tumpuan pengunjung di sekitar daerah Johor Bahru. Cawangan yang terlibat merangkumi pawagam GSC di Paradigm Mall JB, KSL City Mall, Sunway Big Box, dan AEON Bandar Dato Onn Kempas. Turut terkesan dengan arahan penutupan ini adalah cawangan GSC serta pawagam berkonsepkan mewah, Aurum Theatre, yang kedua-duanya beroperasi di The Mall Mid Valley Southkey JB.

Bagi penonton yang telah membuat pembelian tiket untuk sebarang tayangan dalam tetingkap masa penutupan tersebut, pihak GSC telah menetapkan prosedur bayaran balik berdasarkan kaedah pembelian.
Pelanggan yang menempah tiket secara dalam talian tidak perlu membuat sebarang permohonan kerana bayaran balik akan dikreditkan secara automatik ke akaun atau kaedah pembayaran asal dalam tempoh 14 hari bekerja. Sebaliknya, bagi penonton yang membeli tiket secara fizikal melalui mesin e-Kiosk, mereka perlu membawa tiket tersebut dan hadir semula ke pawagam berkenaan untuk mendapatkan pemulangan wang sebaik sahaja operasi pawagam kembali dibuka kepada umum.


