Sesuatu siri filem yang ingin terus kekal relevan tanpa terlalu bergantung kepada nostalgia, ia perlu mengembangkan penceritaanya untuk memastikan kekal relevan buat penonton-penonton yang sudah mengikuti sejak sekian lama dan juga penonton-penonton baharu. Toy Story 5 melakukannya dengan membawa penceritaan mengenai teknologi ke dalam dunia patung mainan, pada awalnya saya agak ragu jika ia mencukupi untuk menjadi satu premis penceritaan kerana ia bukan premis yang baharu dan “technology is evil” merupakan tema penceritaan yang sudah diulang berkali-kali, namun filem ini masih berjaya menjadikannya menarik dengan menyertakan satu lapisan penceritaan tambahan yang lebih timeless.


Jessie (Joan Cusack) dan Buzz Lightyear (Tim Allen) menjadi ketua baharu untuk ‘bilik Bonnie’ selepas Woody meninggalkan mereka untuk tinggal bersama Bo Peep (Annie Potts), pada awal filem ini Bonnie (Scarlet Spears) seorang yang ceria dan sering bermain dengan patung-patungnya akan tetapi dia mempunyai satu masalah yang besar, iaitu sukar untuk mencari rakan sebaya untuk bermain bersama. Jessie bertekad untuk membantu Bonnie tetapi sekadar menjadikan keadaan lebih teruk, selain sifat Bonnie yang pemalu, ia juga menjadi sukar kerana kanak-kanak lebih gemar meluangkan masa di skrin.
Melihat keadaan tersebut, ibu bapa Bonnie telah membeli Lilypad iaitu sebuah tablet untuk kanak-kanak yang juga berfungsi sebagai hab sosial. Kehadiran Lilypad membuatkan Bonnie turut menjadi seperti kanak-kanak lain dengan meluangkan lebih lama masa di skrin berbanding bermain di luar termasuk juga dengan patung mainan. Jessie menganggap Lilypad sebagai musuh mereka dan cuba sedaya upaya untuk menjauhkan Bonnie daripadanya, akan tetapi Lilypad seperti Bonnie juga pada asasnya mempunyai niat yang baik untuk menjadi teman kepada Bonnie dan membantu dia mencari rakan.


Dengan menggandingkan permasalahan penggunaan teknologi oleh kanak-kanak dengan permasalahan kanak-kanak untuk berhubung ataupun kanak-kanak yang rasa tercicir merupakan satu kombinasi yang menarik dan seperti saya nyatakan sebelum ini, membantu di dalam memastikan penceritaan adalah lebih mempunyai jiwa, mendalam dan sudah semestinya lebih menarik. Saya juga menyukai yang penceritaan memberikan lebih ruang untuk melihat kisah Bonnie dengan lebih dekat berbanding filem sebelum ini yang lebih memfokuskan kepada dunia mainan semata-mata.
Filem kali ini lebih memberi ruang kepada Jessie yang menggantikan Woody sebagai ketua baharu, dengan dia rasa bertanggungjawab untuk memastikan Bonnie mendapat layanan yang terbaik daripada dunia. Filem ini turut menyelitkan kisah silam Jessie dengan berkesan dan memberi satu impak emosi. Watak-watak lain seperti Woody dan Buzz Lightyear mempunyai peranan mereka yang tersendiri tetapi bukanlah yang utama di filem ini. Sebaliknya, beberapa watak baharu seperti Smarty Pants (Conan O’Brien), Atlas (Craig Robinson) dan Snappy (Shelby Rabara), bersama dengan Bonnie yang diberi lebih penekanan serta seorang watak manusia baharu iaitu Blaze (Mykal-Michelle Harris) yang memabantu di dalam penyampaian penceritaan dengan lebih menjadi.


Akhir kata, Toy Story 5 berjaya di dalam menyampaikan penceritaan mereka kerana ia bukanlah satu penceritaan cliché kita tidak patut menggunakan teknologi, sebaliknya filem ini menekankan aspek teknologi seperti patung mainan sekadar peralatan untuk kanak-kanak sahaja dan bagaimana ia digunakan menentukan sama ada sesuatu itu baik ataupun tidak. Ini bukan sahaja memberikan satu penceritaan yang lebih menarik, tetapi juga lebih mendalam dan berjiwa. Ia benar-benar menyampaikan konflik utama kanak-kanak membesar iaitu mereka rasa kekitaan ataupun tidak.


