Melalui perkongsian di Threads, Hilal Asyraf iaitu pencipta siri Nirnama mengatakan yang urusan pencarian dana bagi projek adaptasi animasi Nirnama dikendalikan sepenuhnya oleh Usamah Zaid Yasin dan pihak WAU Animation.

Beliau turut mengatakan yang langkah ini menamatkan fasa sukar selama lima tahun bagi Hilal, yang sebelum ini berdepan penolakan daripada pelbagai pihak ketika cuba mendapatkan dana secara bersendirian. Dalam perkongsiannya, Hilal mendedahkan terdapat pihak yang menolak karyanya secara mentah-mentah, termasuk pelabur yang menetapkan syarat agar elemen Islamik digugurkan terlebih dahulu daripada kandungan Nirnama.

Faktor utama pemilihan WAU Animation adalah bersandarkan kepada komitmen dan minat mendalam pasukan tersebut terhadap jalan cerita yang dibina. Menurut Hilal, Usamah selaku pengarah telah membaca sepenuhnya naskhah berkenaan untuk mendalami intipati cerita.

Dengan perkembangan terbaru ini, Hilal kini mengalihkan fokusnya secara sepenuhnya kepada strategi pemasaran. Beliau akan menumpukan usaha terhadap penjualan karya-karya cetakan Nirnama bagi memperkukuh promosi jenama serta meluaskan lagi kumpulan pembaca.

Bercakap mengenai permintaan orang ramai untuk menjadikan animasi pendek yang dihasilkan oleh Mintt Studio sebagai animasi penuh, beliau mengatakan jika mempunyai RM15 juta, beliau dan Mintt Studio boleh lakukan akan tetapi beliau tidak akan berusaha untuk melakukan biayasama kerana tidak ingin memegang amanah yang hadir bersama dengan perkara tersebut.

Hilal Asyraf sebelum ini berkerjasama dengan Mintt Studio untuk hadir dengan animasi pendek ‘Nirnama Menentang Tok Long Senyum’ yang merupakan satu adegan daripada Komik Nirnama: Hikayat Pendekar Tanpa Nama 1.

Leave a Reply