Lyrical Games telah mengumumkan bahawa Valor Mortis, sebuah permainan Soulslike sudut pandang pertama, akan dilancarkan pada 24 September 2026. Permainan yang dibangunkan oleh studio One More Level ini akan tiba di PlayStation 5, Xbox Series, dan PC, selain ditawarkan secara terus ke dalam katalog Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran.

Pengumuman ini turut mendedahkan penglibatan pelakon pemenang Anugerah César, Vincent Cassel, yang menyumbangkan suaranya untuk watak Napoleon Bonaparte.

Mengambil inspirasi latar masa Eropah abad ke-19 dengan elemen supernatural, permainan ini menampilkan penceritaan di mana benua tersebut dilanda wabak aneh berikutan penaklukan Napoleon. Pemain mengawal William, seorang askar Grande Armée yang dihidupkan semula melalui kuasa wabak yang sama. Dia perlu jelajah kawasan peperangan, pergunungan, dan bandar menggunakan struktur penerokaan Metroidvania untuk mengelak dan menyerang hendap tentera Eternal Guard. Sepanjang permainan, William akan dibimbing oleh suara Napoleon itu sendiri.

Pertempuran dalam Valor Mortis menggabungkan penggunaan senjata tradisional era tersebut seperti pedang rapier dan pistol ‘flintlock’ serentak dengan kebolehan ghaib. Memandangkan One More Level sebelum ini membangunkan siri Ghostrunner, mekanik pertempuran terus menggunakan perspektif sudut pandang pertama yang memfokuskan kepada pengurusan stamina, ketepatan menangkis serangan, dan mobiliti pantas.

Dari segi latar audio, skor muzik permainan ini dihasilkan secara bersama oleh komposer dalaman studio, Oskar Bała, dan Arkadiusz Reikowski, yang mempunyai rekod prestasi melalui tajuk-tajuk seram seperti Silent Hill 2 Remake, The Medium, dan Layers of Fear.

Bagi pemain yang ingin mencuba mekanik pertempuran dan sistem pergerakannya, sebuah demo awal untuk permainan ini sudah boleh dimuat turun sekarang melalui platform Steam.

Leave a Reply