Mojang Studios ketika acara Xbox Games Showcase telah mengumumkan Minecraft Dungeons II akan dilancarkan pada 29 September depan untuk PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC. Bersama dengan pengumuman ini mereka juga berkongsi treler baharu, selain pembukaan fasa tempahan awal yang bermula dari 6 Jun 2026 sehingga 28 September 2026.
Siri terbaharu ini menggugurkan mekanik perlombongan tradisional dan memfokuskan sepenuhnya kepada elemen pertempuran jarak dekat menentang kumpulan musuh (mobs) yang menyerang kawasan Overworld. Mengikut maklumat awal, plot permainan kali ini melibatkan krisis misteri serta kehadiran musuh baharu yang diperkenalkan sebagai “blue-charged foe”.
Sama seperti siri sebelum ini, pemain boleh mengubah suai kebolehan watak masing-masing menggunakan kelengkapan yang dikumpul sepanjang permainan. Ini merangkumi barangan seperti senjata, perisai, artifak, talismans, serta kelengkapan gred legenda.


Dari segi mod permainan, Minecraft Dungeons II boleh dimainkan secara solo atau bersama rakan menerusi mod couch co-op dan online co-op yang menyokong sehingga empat orang pemain secara serentak.
Pemain yang melakukan tempahan awal dalam tempoh promosi yang ditetapkan bakal menerima beberapa kandungan digital eksklusif. Ganjaran tersebut termasuk dua hero skins, Twisted cape, serta haiwan peliharaan Twisted chicken.


