Focus Entertainment bersama dengan pembangun Uppercut Games telah mengumumkan permainan first-person action game berdasarkan silap mata iaitu Magicians: The Devil’s Deal sewaktu acara Xbox Games Showcase. Permainan ini akan tiba pada tahun 2027 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC. Ia juga akan ditawarkan melalui Xbox Game Pass serta menyokong ciri Xbox Play Anywhere.
Magicians: The Devil’s Deal menawarkan corak permainan yang memfokuskan kepada pertempuran, penerokaan, dan penggunaan silap mata pentas sebagai kuasa serangan. Pemain akan menggalas peranan sebagai Jacob Menteuro, seorang ahli silap mata berbakat besar yang telah dikhianati oleh pesaing-pesaingnya yang digelar sebagai Masters.
Akibat pengkhianatan tersebut, Jacob terperangkap di dalam Theatreland, sebuah dunia bawah tanah di neraka yang merupakan cerminan terherot bagi bandar London abad ke-19 pada era Victoria. Bagi melepaskan diri dan membalas dendam, Jacob terpaksa memeterai satu perjanjian bersama syaitan, yang mana perjanjian ini menukarkan trik silap mata pentas miliknya kepada kebolehan ghaib sebenar.


Dalam dunia ini, silap mata bukan lagi sekadar persembahan. Pemain akan menggunakan kad yang bertukar menjadi bilah tajam berbalistik, menggunakan rantai untuk memerangkap musuh, serta memanipulasi graviti ketika berhadapan dengan pelbagai musuh fanatik dan penghibur ngeri di Theatreland. Setiap kawasan dalam Theatreland dikawal oleh seorang Master, dan Jacob perlu memburu setiap daripada mereka untuk merampas kuasa yang dimiliki di samping merungkai kebenaran di sebalik pengkhianatan yang dialaminya.
Setiap ruang di Theatreland membawakan persekitaran yang dipengaruhi oleh kuasa setiap Master. Tuntutan untuk terus hidup dalam dunia ini memaksa pemain untuk peka dengan keadaan sekeliling, melakukan adaptasi, dan menggabungkan pelbagai kombinasi serangan untuk menundukkan musuh.


