Menonton Disclosure Day membawa sesuatu perasaan yang menarik untuk saya, ia membawa konsep filem cereka sains mengenai makhluk asing yang bukanlah unik ataupun lain daripada yang lain, akan tetapi masih memberi perasaan yang segar, yang membuatkan saya sentiasa tertarik dengan adegan-adegan seterusnya yang akan diperlihatkan. Diarahkan oleh pengarah legenda, Steven Spielberg, saya boleh katakan filem ini boleh diletakkan satu lagi filem cereka sains yang akan mempunyai tempat istimewa di dalam hati peminat-peminat genre ini.


Filem ini memfokuskan kepada dua watak iaitu Margaret Fairchild (Emily Blunt) dan Daniel Kellner (Josh O’Connor). Margaret Fairchild merupakan seorang hos yang menyampaikan laporan cuaca di Stesen TV di Kansas, tetapi suatu hari secara tiba-tiba dia mempunyai kebolehan untuk memahami gerak hati manusia lain dan juga di satu segmen dia bertutur dalam satu bahasa yang tidak difahami. Manakala Daniel Kellner bekas pekerja Wardex iaitu organisasi yang menyimpan rahsia mengenai makhluk asing yang dalam pelarian kerana mencuri data daripada organisasi tersebut. Di atas sebab yang tidak diketahui dia dapat memahami apa yang dikatakan oleh Margaret Fairchild. Keliru dengan keadaan tersebut, kedua-dua mereka juga mempunyai satu perasaan yang mereka perlu berjumpa satu sama lain.
Saya boleh katakan yang filem ini mengingatkan saya kepada dua filem cereka sains yang saya sukai dan kedua-duanya diterbitkan pada tahun 2016 iaitu Midnight Special filem arahan Jeff Nichols dan juga Arrival, filem arahan Denis Villeneuve. Ia mengingatkan saya kepada Midnight Special kerana Margaret Fairchil dan Daniel Kellner kedua-dua mempunyai kebolehan yang unik, sentiasa dalam perjalanan untuk melarikan diri, dan mempunyai elemen keagamaan manakala ia mengingatkan saya kepada Arrival kerana fokus filem ini adalah apa yang diinginkan oleh makhluk asing dan mengapa mereka ingin berhubung dengan manusia. Jika saya ingin senaraikan ketiga-tiga filem ini, saya akan meletakkan Disclosure Day di atas Midnight Special dan sedikit di bawah Arrival.


Disclosure Day mempunyai kisah atau misteri yang dibawa seperti Arrival, saya akan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku ataupun apa motif makhluk asing sepanjang filem ini, tetapi bagi saya Arrival melakukan tugasan yang lebih baik di dalam menyampaikan-nya dengan lebih teratur (ironinya), manakala filem ini lebih bergerak pantas dan lebih kelam kabut, ia sudah semestinya akan menjadi lebih menarik jika anda meminati konsep penceritaan ini, tetapi bagi saya di dalam kelam kabut ini membuatkan beberapa elemen terasa tersisih terutama elemen keagamaan yang saya nyatakan sebelum ini, ia ada, dan menarik tetapi kurang berkesan.
Bahagian kelam kabut filem ini pula dilakukan dengan lebih menarik jika ingin dibandingkan dengan Midnight Special, kerana ia melibatkan dua watak yang berbeza yang berada di dua kawasan yang berlainan. Ia menjadikan filem ini lebih penuh dengan aksi dan sudah semestinya tidak membosankan. Namun, saya boleh katakan filem ini mencapai tahap yang paling menarik apabila sekadar berlakunya dialog antara watak, contohnya dialog di antara Noah Scanlon (Colin Firth) iaitu ketua Wardex dan Hugo Wakefield (Colman Domingo) yang juga bekas Wardex dan sedang membantu Daniel Kellner melarikan diri. Dialog di antara kedua-dua watak ini memberi lapisan tambahan kepada penceritaan dan menjadikannya lebih menarik.


Begitu juga dengan perhubungan Margaret Fairchild dengan teman lelakinya, Jackson (Wyatt Russell) dan Daniel Kellner bersama dengan teman wanitanya Jane (Eve Hewson), kedua-dua perhubungan ini memberi dinamik yang berbeza kepada keseluruhan penceritaan dan menambah kepada kecelaruan di dalam filem ini. Saya tidak pasti jika disengajakan, akan tetapi saya dapat melihat corak yang menarik di dalam filem ini, ia sentiasa melibatkan dua, dua watak utama iaitu Margaret Fairchild dan Daniel Kellner, dua pasangan, dan dua “ketua” iaitu Noah Scanlon dan Hugo Wakefield. Bahkan di dalam filem ini juga ada dialog yang mengatakan “kamu sentiasa berdua” yang membuatkan ia menjadi corak yang disengajakan.
Saya juga harus memuji Steven Spielberg menggunakan segala cliché mengenai filem-filem makhluk asing, seperti corak di rumput, Roswell, penculikan makhluk asing, bahkan rekaan makhluk asing juga bukanlah sesuatu yang baharu tetapi setiap perkara yang cliché ini diadunkan dengan berkesan ia memberi perasaan familiarity tetap pada masa yang sama saya boleh merasakan keunikan pembawaannya dan tidak menjadikan filem ini sekadar satu lagi filem di dalam genre ini. Filem ini juga dengan berjayanya membawa persoalan yang menarik dan beremosi untuk melengkapkan lagi penyampaian yang berkesan filem ini. Satu perkara yang saya tidak pasti mengapa dilakukan, tetapi filem ini banyak menggunakan kedudukan kamera di bawah garis mata pelakon yang membuatkan saya bagaikan melihat ke atas, bagi saya ia sedikit kurang selesa.


Akhir kata, Disclosure Day dipenuhi dengan cliché untuk filem makhluk asing akan tetapi Steven Spielberg berjaya untuk menggunakan kesemua perkara ini tetapi dengan penyampaian yang terasa segar, menghiburkan dengan penuh emosi, ia tidak bertanya persoalan baharu tetapi cara ia ditanya sangat menarik dan unik. Filem ini mengingatkan saya kepada Midnight Special dan Arrival dan pembawaannya lebih menarik berbanding Midnight Special dan mempunyai misteri yang hampir menyaingi Arrival. Ia sudah semestinya satu filem yang mempunyai tempat yang istimewa di kalangan-kalangan peminat genre ini.


