Innersloth ketika acara Summer Game Fest telah mengumumkan permainan terbaru berdasarkan judul Among Us, iaitu Among Us Story: On Guard. Menariknya, ia merupakan permainan solo yang mempunyai penceritaan tersendiri.
Permainan ini disahkan akan dilancarkan untuk platform Nintendo Switch dan PC. Pihak pembangun turut menyatakan kemungkinan penambahan platform lain pada masa hadapan. Ia direka sebagai sebuah permainan berskala kecil yang singkat, namun menawarkan nilai main semula menerusi tiga penamat cerita berbeza yang boleh diterokai oleh pemain.
Pemain kini sudah boleh meletakkan permainan ini ke dalam senarai hajat di kedai digital permainan video, manakala runut bunyi asal permainan boleh dipra-simpan bermula pada tarikh pelancaran demo iaitu pada 15 Jun kelak.
Dari segi mekanik dan penceritaan, Among Us Story: On Guard berlatarkan program simulasi latihan krew di bawah Penyelidikan & Pembangunan MIRA. Pemain akan memegang peranan sebagai ‘Operator’ di luar simulasi yang mengawal watak bernama ‘Guard’ di dalam simulasi. Tugas utama pemain adalah untuk memastikan keselamatan kapal secara menyeluruh. Apabila kes pembunuhan krew mula berlaku, pemain mesti menyiasat jenayah tersebut, membersihkan nama daripada tuduhan, mengenal pasti identiti ‘Impostor’, dan dalam masa yang sama, tetap melengkapkan tugasan rutin sebagai krew.
Sepanjang siasatan, pemain akan berinteraksi dengan beberapa watak di atas kapal yang merangkumi Management, Cook, Scientist, Engineer, Doctor, dan Captain. Pemain ditugaskan untuk menganalisis gerak-geri watak-watak ini bagi mencari dalang sebenar pembunuhan.


