Masters of the Universe merupakan satu judul yang sudah wujud sejak tahun 1982 lagi, tetapi agar mengejutkan buat masa ini ia hanya ada dua filem aksi nyata iaitu yang diterbitkan pada tahun 1987 dan yang terbaru tiba pada tahun ini. Filem ini diarahkan oleh Travis Knight dengan Nicholas Galitzine bertanggungjawab untuk menjadi wajah baharu bagi Adam Glenn atau He-Man. Selain daripada melihat beberapa video meme, secara jujurnya saya mempunyai pengetahuan yang terhad untuk IP ini, tetapi selepas menonton filem ini saya bagaikan telah mengikuti kisah ini sejak dari dulu dan tidak mengambil masa lama untuk terus mempunyai perhubungan dengan watak-watak yang ada.


Filem ini bukanlah sekuel ataupun prekuel, ia satu kandungan kendiri yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja, kisah bermula dengan Adam Glenn (Nicholas Galitzine) telah dihantar ke bumi oleh ibu bapanya yang merupakan raja di Eternia, selepas dunia tersebut diserang oleh Skeletor (Jared Leto). Skeletor inginkan Sword of Power, tetapi pedang tersebut telah dihantar ke bumi bersama dengan Adam. 15 tahun kemudian, Adam sudah dewasa tetapi semasa dihantar ke bumi, dia jatuh di tempat yang berbeza dengan Sword of Power, dia meluangkan masa membesar untuk mencari pedang tersebut. Selepas menjumpai pedang itu semula, bermulalah usahanya untuk membesaskan Eterons daripada Skeletor bersama dengan kawan lama dan baru.
Jalan cerita yang disertakan adalah ringkas sahaja dan mudah untuk dijangka apa yang akan berlaku, tetapi kekuatan utamanya adalah bagaimana Adam Glenn disampaikan, termasuk juga perhubungannya dengan watak-watak lain seperti Teela (Camila Mendes) dan Duncan atau Man-At-Arms (Idris Elba). Perhubungan mereka sangat bersahaja dan setiap elemen komedi yang dilakukan menjadi tetapi apabila memasuki babak yang beremosi ia masih disampaikan dengan berkesan menjadikan penceritaan yang ringkas ini boleh dialami dengan jauh lebih menarik. Selain itu, pacing juga saya boleh katakan dilakukan dengan baik, tiada babak yang terasa bosan walaupun jelas babak-babak tersebut sekadar filler sahaja.


Setelah sekian lama tanpa watak yang menjadi, Jared Leto mengejutkan membawa watak Skeletor dengan sangat baik. Jika perhubungan protagonis disampaikan dengan gandingan jenaka dan emosi, Skeletor pula disampaikan dengan sangat ‘jahat’ terutama daripada tuturannya akan tetapi juga berkesan di dalam menyelit elemen-elemen komedi. Ia tidak membawa watak jahat yang menjadi seteru kepada He-Man tetapi mencukupi untuk menjadikan jalan cerita yang menarik serta memberi sesuatu yang memberi motivasi mencukupi untuk mengangkat watak Adam Glenn itu sendiri. Skeletor juga dibantu oleh Evil-Lyn (Alison Brie) yang tidak mempunyai peranan yang besar tetapi masih berkesan di dalam penyampaiannya.
Bahagian aksi juga tidak mengecewakan, ia mempunyai kombinasi pertempuran yang berbeza-beza dan tidak membosankan. Walaupun kekuatan He-Man hadir daripada pedang, akan tetapi pertempuran tidak sepenuhnya memfokuskan kepada penggunaan pedang. Adegan aksi menjadi lebih menarik dengan hadirnya beberapa lagi watak yang membantu Adam seperti Fisto (Johannes Haukur), Ram-Man (Jon Xue Zhang), dan Mekaneck (James Wilkinson) yang setiap daripada mereka juga mempunyai kebolehan tersendiri yang menjadikan pertempuran menjadi lebih menarik.


Akhir kata, Masters of the Universe merupakan satu filem yang sangat berkesan di dalam penyampaiannya kerana membawa satu filem yang penuh aksi dan penuh dengan emosi yang akan dihargai oleh peminat-peminat yang mengikut IP ini daripada awal dan juga bagi penonton-penonton baharu kerana filem ini akan terus menjadikan anda seorang peminat melalui lakonan yang berkesan daripada setiap watak dan jalan cerita yang ringkas tetapi menarik.


