Sony Interactive Entertainment bakal melancarkan perkakasan kawalan arked pertamanya untuk konsol PlayStation 5 (PS5) dan PC melalui pengenalan FlexStrike wireless fight stick pada 6 Ogos 2026.

Alat kawalan yang direka khusus untuk reka bentuk ergonomik kompetitif ini akan dijual pada harga pasaran disyorkan RM999. Sesi pra-tempahan di pengedar tempatan terpilih yang mengambil bahagian akan dibuka bermula 12 Jun 2026.
FlexStrike dilengkapi dengan sambungan nirwayar ultra-low latency melalui teknologi PlayStation Link, selain turut mengekalkan pilihan sambungan berwayar. Perkakasan ini juga membawakan bateri boleh cas semula terbina dalam serta didatangkan bersama beg penyandang khas.

Pelancaran perkakasan ini dijadualkan berlangsung serentak dengan pelancaran permainan video MARVEL Tōkon: Fighting Souls. Bagi peminat yang mahukan edisi fizikal permainan tersebut di PS5, tempahan awal boleh dibuat bermula 12 Jun 2026 pada harga disyorkan RM249. Sementara itu, tempahan awal versi digital untuk edisi Standard, Digital Deluxe, dan Ultimate kini sudah boleh diakses melalui PS Store, Steam, dan Epic Games Store.
Dalam perkembangan sama, Sony turut mendedahkan Pulse Elevate wireless speakers yang merupakan pembesar suara nirwayar pertama rekaan syarikat berkenaan. Sistem audio ini direka untuk keserasian ekosistem PS5, PC, Mac, peranti PlayStation Portal, serta telefon pintar.

Pulse Elevate menampilkan keupayaan audio lossless dan kependaman ultra-rendah melalui sambungan PlayStation Link. Produk audio ini dijadualkan dilancarkan ke pasaran pada lewat tahun ini, dengan butiran harga tempatan dan tarikh tempahan awal akan diumumkan pada tarikh yang lain.


