Studio Hiscory dari Indonesia telah menetapkan 12 Jun 2026 sebagai tarikh pelancaran rasmi untuk permainan terbaharu mereka, Teller’s Duty. Permainan ini dijadualkan untuk platform Xbox dan juga PC.


Teller’s Duty membawakan genre Point-Click, Simulation, Narrative, Job Simulator dengan latar masa era 1980-an. Pemain akan mengambil peranan sebagai seorang pekerja kaunter bank. Permainan ini memfokuskan kepada watak utama bertugas di Koridia National Bank dan terdesak mencari dana bagi membiayai kos perubatan ibunya.
Pemain perlu membuat keputusan yang sukar sama ada mematuhi polisi kerajaan yang menindas demi kelangsungan hidup atau mengambil risiko untuk membantu rakyat secara rahsia. Pendekatan dan tekanan birokrasi yang ditampilkan ini mempunyai persamaan dengan mekanik permainan Papers, Please.
Dari sudut corak permainan, pemain perlu melaksanakan pelbagai tugasan harian seperti mengira wang tunai secara manual dan meneliti ketulenan dokumen untuk mengesan sebarang bentuk pemalsuan. Selain itu, pemain dituntut untuk sentiasa peka dan menyesuaikan diri dengan protokol transaksi yang berubah-ubah.
Permainan ini dianggarkan menawarkan tempoh kempen sekitar enam hingga lapan jam. Sepanjang tempoh tersebut, pemain akan berinteraksi dengan lebih daripada 100 pelanggan yang unik. Setiap keputusan moral dan kewangan yang dibuat sepanjang permainan akan menentukan arah tuju cerita yang menjurus kepada salah satu daripada tiga pengakhiran berbeza.


