Xiaomi hari ini melancarkan siri telefon pintar Xiaomi 17T di pasaran Malaysia yang merangkumi model Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro. Barisan peranti baharu ini memfokuskan kepada penggunaan bateri berkapasiti besar berserta sistem kamera telefoto Leica yang kini ditawarkan pada kedua-dua varian.

Siri Xiaomi 17T sudah boleh dipra-tempah bermula 28 Mei hingga 11 Jun 2026. Model Xiaomi 17T Pro ditawarkan dalam warna Deep Blue, Deep Violet, dan Black dengan tiga pilihan storan: 256GB pada harga RM2,899, 512GB berharga RM3,199, dan varian tertinggi 1TB pada harga RM3,499.

Sementara itu, model asas Xiaomi 17T yang hadir dalam warna Opal White, Violet, Blue, dan Black dijual pada harga RM2,499 untuk kapasiti 512GB. Varian 256GB turut ditawarkan pada harga RM2,399, namun ia terhad secara eksklusif untuk pembelian dalam talian.

Pelanggan yang membuat pra-tempahan layak menerima tablet REDMI Pad 2 9.7 berserta manfaat digital yang merangkumi jaminan tambahan peranti, perlindungan skrin, dan langganan untuk YouTube Premium, Spotify Premium, dan Google AI Pro.

Fokus utama siri kali ini terletak pada teknologi sel bateri silikon-karbon. Xiaomi 17T Pro dilengkapi bateri 7000mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W dan pengecasan nirwayar 50W. Bateri ini merekodkan kapasiti paling besar bagi telefon pintar Xiaomi di pasaran antarabangsa setakat ini. Model Xiaomi 17T pula dimuatkan dengan bateri 6500mAh berserta sokongan pengecasan berwayar 67W.

Dari aspek pemprosesan, Xiaomi 17T Pro dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 9500 yang dibina berasaskan proses 3nm. Xiaomi 17T menggunakan cip MediaTek Dimensity 8500-Ultra dengan seni bina 4nm. Bagi mengawal suhu peranti semasa penggunaan berat, kedua-dua telefon ini menggunakan sistem pengurusan haba Xiaomi 3D IceLoop.

Bahagian pengimejan siri ini diketuai oleh sensor utama 50MP, dengan model Pro menggunakan sensor bersaiz 1/1.31-inci dan model asas menggunakan sensor 1/1.55-inci. Buat pertama kalinya untuk siri T, kedua-dua model dilengkapi lensa telefoto Leica 5x yang mampu menghasilkan zum bergred optikal sehingga 10x dan Ultra Zum AI sehingga 120x.

Kedua-dua model menyokong fungsi Leica Live Moment untuk merakam pergerakan pendek bersama gambar statik. Model Xiaomi 17T Pro mempunyai sokongan tambahan eksklusif untuk rakaman video sinematik pada resolusi 4K 60fps dan Ultra-HD Live Moment.

Bagi spesifikasi skrin, peranti ini menggunakan panel AMOLED 1.5K yang menawarkan kecerahan puncak sehingga 3500 nit. Xiaomi 17T Pro menyokong kadar segar semula 144Hz manakala Xiaomi 17T menyokong kadar 120Hz. Skrin ini juga menerima pengiktirafan penjagaan mata TÜV Rheinland menerusi pelaksanaan teknologi Xiaomi Vision Care yang melaraskan pencahayaan mengikut keadaan ambien.

Sempena pelancaran siri ini, Xiaomi membuka pameran A Visual Journey with Xiaomi 17T Series kepada orang awam bermula 30 Mei sehingga 1 Jun 2026 bertempat di Dewan Persekutuan 1 & 2, Bangunan Sultan Abdul Samad, anjuran bersama dengan penganjuran KL Festival 2026.

Xiaomi turut menjalankan kempen cabutan bertuah untuk pembeli siri Xiaomi 17T antara 29 Mei hingga 30 Jun 2026. Peserta berpeluang memenangi pakej percutian untuk dua orang menerusi baucar perjalanan bernilai sehingga RM20,000, dengan nilai keseluruhan hadiah terkumpul mencecah RM120,000. Pemenang akan diumumkan pada 15 Julai 2026.

Leave a Reply