Sempena sambutan Hari Dragon Quest yang menandakan ulang tahun ke-40 siri tersebut pada 27 Mei, Square Enix mendedahkan bahawa pembangunan untuk judul utamanya telah dimulakan semula di bawah struktur baharu. Permainan tersebut kini ditukar tajuk daripada DRAGON QUEST XII: The Flames of Fate kepada DRAGON QUEST XII: Beyond Dreams, berserta dengan pengenalan rekaan logo yang baharu. Pengumuman ini turut diiringi dengan pendedahan rakaman awal corak permainan serta mesej rasmi daripada pereka permainan Yuji Horii dan penerbit eksekutif Yosuke Saito.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu mengumumkan DRAGON QUEST MONSTERS: The Withered World sebagai penambahan terbaharu dalam siri tersebut. Permainan ini menampilkan dua watak utama, Bianca dan Nera, yang sebelum ini muncul dalam DRAGON QUEST V: Hand of the Heavenly Bride. Judul ini akan diterbitkan untuk pelbagai platform, termasuk PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.
Selain itu, DRAGON QUEST XI S: Echoes of an Elusive Age dijadualkan tiba di platform Nintendo Switch 2 pada 24 September. Versi untuk konsol baharu ini mengekalkan segala kandungan keluaran asal sambil memperkenalkan satu fungsi tetapan paparan yang memberi pilihan kepada pemain untuk mengutamakan kualiti grafik atau kelancaran. Pra-tempahan untuk judul ini mula dibuka pada 27 Mei.


