Deep Silver dan KING Art Games telah mengumumkan tarikh pelancaran untuk Warhammer 40,000: Dawn of War IV. Permainan ini dijadualkan menemui pemain PC pada 17 September. Pembeli edisi “Commander” pula akan mendapat kelebihan akses awal selama tiga hari bermula 14 September.

Warhammer 40,000: Dawn of War IV akan menawarkan empat puak yang boleh dimainkan untuk kempen bukan linear yang memfokuskan kepada peperangan di planet Kronus. Judul ini turut menyokong pertempuran berbilang pemain serta kembalinya mod-mod seperti Last Stand dan Skirmish.

Pihak pembangun turut berkongsi pelan hala tuju pasca-pelancaran Tahun Pertama (Year One) yang dirancang menerusi kemas kini percuma dan kandungan muat turun (DLC) berbayar. Untuk kemas kini percuma, mod “Crusade” dijadualkan kembali pada musim luruh 2026.

Kandungan seterusnya akan memperkenalkan mod permainan tambahan, pek peta baharu, dan sebuah Mission Editor kepada pemain. Mod Last Stand juga akan dikembangkan dengan komander-komander baharu yang hadir dengan gaya permainan, kebolehan unik, dan objektif kempen “Crusades” mereka yang tersendiri.

Bagi kandungan berbayar, dua pengembangan kempen penceritaan akan ditawarkan. Pengembangan pertama yang dikenali sebagai “Blood Ravens Story Prologue”, memfokuskan kepada pertempuran peninggalan relik purba dengan membawa pemain kembali ke planet Aurelia. Pengembangan kedua, iaitu “Aftermath”, akan menyambung titik plot kempen utama di samping menambah puak kelima ke dalam senarai permainan merentasi semua mod yang ada, termasuk mengembangkan saiz mod Crusade.

Leave a Reply