Projek untuk filem The Mandalorian and Grogu ini muncul apabila musim keempat untuk The Mandalorian terjejas akibat mogok pelakon Amerika Syarikat berlaku pada tahun 2013. Berbanding menghasilkan musim baharu, Lucasfilm mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai filem dengan pencipta siri ini iaitu Jon Favreau menjadi pengarah. Oleh itu, saya boleh katakan yang walaupun ia hadir ke layar perak akan tetapi struktur penceritaan masih lagi menyerupai siri terutama musim pertama.

Filem ini berlaku susulan musim ketiga untuk siri dengan Din Djarin (Pedro Pascal) kini secara eksklusif melakukan tugasan yang diberikan oleh New Republic, dan tugasan utama adalah untuk menyelamatkan Rotta the Hut (Jeremy Allen White) iaitu anak kepada Jabba the Hut, tetapi seperti mana-mana tugasan yang dilakukan oleh Din Djarin dan Grogu, ia sentiasa akan menjadi lebih rumit dan kali ini ia melibatkan seorang atasan Galactic Empire yang menyorok dan juga kembar Hutt, yang ingin membunuh Rotta kerana dianggap sebagai ancaman kepada pemerintahan mereka.
Seperti saya nyatakan di atas, struktur penceritaan filem ini sama dengan siri TV, dengan Din Djarin bersama dengan Grogu melakukan tugasan sebelum beralih ke tugasan seterusnya. Bagi filem ini, ia dikembangkan lagi dengan penambahan sejumlah watak tambahan dan Grogu juga diberi ruang untuk bergerak secara sendiri yang bagi saya serba sedikit menjadikannya lebih menarik. Tambahan pada itu, ia juga banyak membawa ke dunia baharu dan memperlihatkan penjahat serta makhluk-makhluk yang berbeza.

Ia adalah menarik, dan memberi sesi tontonan yang memuaskan akan tetapi secara jujurnya saya tidak dapat merasakannya lebih daripada episod baharu untuk siri ini, yang membuatkannya sedikit mengecewakan. Sebagai satu filem saya mengharapkan satu penceritaan yang lebih mendalam dengan pembinaan dunia yang lebih meluas. Namun, filem ini saya boleh anggap sebagai pengganti untuk musim baharu dan pada masa yang sama jika siri TV kembali ia boleh teruskan penceritaan tanpa sebarang masalah.
Satu lagi yang saya boleh katakan, filem ini juga boleh dikatakan sebagai satu filem untuk memperkenalkan Rotta yang menjadi watak kegemaran saya di dalam filem ini. Wataknya membantu di dalam membawa sesuatu yang segar dan tidak terlalu bergantung kepada Din Djarin dan Grogu sahaja yang mungkin akan menjadi sedikit membosankan terutama yang sudah menonton ketiga-tiga musim The Mandalorian. Hadirnya Rotta menjadi interaksi antara watak lebih menarik dengan penambahan sesuatu yang berlainan.

Akhir kata, The Mandalorian and Grogu membawa penonton ke pelbagai dunia dan berhadapan dengan pelbagai penjahat dan makhluk untuk menjadikannya lebih besar berbanding episod siri TV tetapi struktur penceritaan masih terasa sama dan membuatkannya mudah untuk dijangkakan. Perkara yang menarik perhatian adalah dengan pengenalan watak Rotta dan juga Grogu diberi ruang untuk berkembang secara sendirian tetapi selain daripada itu ia tidak lebih daripada musim keempat untuk siri ini yang ditukar menjadi sebuah filem.


