Nintendo telah mengumumkan pelancaran Star Fox untuk konsol Nintendo Switch 2 pada 25 Jun ini. Pengumuman menerusi pembentangan Nintendo Direct mendedahkan bahawa permainan ini dibina berasaskan permainan klasik Star Fox 64, dengan rombakan visual yang menyeluruh untuk memanfaatkan keupayaan perkakasan konsol baharu tersebut.
Pelancaran judul ini menyusuli penampilan Fox McCloud baru-baru ini di layar perak melalui The Super Mario Galaxy Movie. Dalam permainan space combat ini, Fox McCloud dan pasukannya kembali memandu pesawat Arwing untuk menghalang matlamat saintis Andross yang mahu menguasai Sistem Lylat.
Berbanding versi asal, permainan ini kini menampilkan rekaan watak yang dikemas kini, cutscene terperinci, dialog bersuara penuh, dan runut bunyi orkestra. Pemain akan menerokai pelbagai planet dengan bioma berbeza seperti Corneria dan Zoness melalui mod Campaign. Laluan yang ditempuhi oleh pemain bersifat dinamik dan boleh berubah bergantung kepada tindakan dan objektif yang diselesaikan semasa peringkat pertempuran.
Bagi pemain yang mencari variasi, mod Challenge membolehkan mereka mengulangi tahap yang telah diselesaikan untuk melengkapkan objektif baharu pada tahap kesukaran Normal atau Expert.
Satu penambahan utama dalam versi kali ini ialah mod Battle, yang memperkenalkan format pertempuran dogfight multi-pemain secara 4-lawan-4. Sehingga lapan orang pemain boleh bertempur mewakili Pasukan Star Fox atau Pasukan Star Wolf di dalam talian. Terdapat tiga zon perlawanan dengan objektif yang unik: mengawal zon ditetapkan di Corneria, mengumpul kristal di Fichina, atau merampas kargo di Sector Y.

Mekanik dan sistem kawalan juga telah dikembangkan. Pemain boleh memilih untuk menggunakan kawalan tetikus Joy-Con 2 bagi membolehkan bidikan yang lebih jitu. Sistem ini membenarkan transisi pantas antara kawalan butang dan tetikus, serta menyokong permainan secara koperasi di mana seorang pemain mengawal penerbangan pesawat manakala seorang lagi memfokuskan kepada tembakan senjata.
Dari segi perkongsian dan fungsi sosial, ciri GameShare membenarkan sehingga empat orang bermain secara bersama. Walaupun GameShare dalam talian terhad kepada Nintendo Switch 2, GameShare tempatan menyokong perkongsian antara konsol Nintendo Switch 2 dan konsol Nintendo Switch generasi pertama. Pemain juga mempunyai akses kepada sistem GameChat yang menyediakan avatar interaktif dan penuras AR. Sistem ini mampu meniru pergerakan dan riak wajah pengguna lalu menterjemahkannya ke atas watak-watak siri Star Fox secara langsung sewaktu sesi komunikasi.


