SEGA bersama RGG Studio telah berkongsi lanjut mengenai Stranger Than Heaven, sebuah judul action adventure baharu yang dijadualkan untuk pelancaran pada musim sejuk ini. Permainan ini akan ditawarkan di pelbagai platform termasuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC. Ia juga akan disertakan di dalam Xbox Game Pass pada hari pelancaran kelak.

Salah satu tarikan utama judul ini adalah barisan pelakon dan pemuzik antarabangsa yang membintangi permainan tersebut. Stranger Than Heaven menyatukan nama-nama besar seperti Snoop Dogg, Yu Shirota, Dean Fujioka, Ado, Tori Kelly, dan Satoshi Fujihara daripada kumpulan OFFICIAL HIGE DANDISM. Lebih menarik, mendiang pelakon legenda Jepun, Bunta Sugawara dihidupkan semula melalui teknologi rekaan watak CG, dengan dialog yang disuarakan oleh Takashi Ukaji. Lagu tema rasmi permainan ini akan menyaksikan kolaborasi antara Snoop Dogg, Satoshi Fujihara, Ado, dan Tori Kelly.

Dari segi naratif, permainan ini merentasi tempoh 50 tahun yang bermula dari tahun 1915 hingga 1965. Pemain akan dibawa ke lima bandar pada era yang berbeza: kawasan kilang keluli di Kokura (1915), pangkalan tentera laut di Kure (1929), daerah hiburan Minami di Osaka (1943), pusat pelancongan pascaperang di Atami (1951), dan kawasan ikonik Shinjuku di Tokyo (1965).

Pemain akan mengawal Makoto Daito, seorang remaja berdarah kacukan Amerika dan Jepun. Selepas kematian ibu bapanya dan berdepan diskriminasi di Amerika, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Jepun bagi memulakan kehidupan baharu.

Bagi mekanik pertempuran, permainan ini menggunakan sistem pertarungan jalanan di mana pemain mempunyai kawalan bebas secara berasingan ke atas lengan kiri dan kanan Makoto. Sistem ini membolehkan pertukaran pantas antara serangan dan pertahanan. Pemain juga boleh menggunakan pelbagai jenis senjata seperti pisau, tukul, dan pedang yang selari dengan era pertempuran tersebut.

Sebagai nilai tambah, Stranger Than Heaven turut memperkenalkan elemen pengurusan persembahan menerusi mod “Show Business”. Dalam mod ini, Makoto bertindak sebagai seorang penganjur yang perlu mencari bakat-bakat jalanan dan mencipta lagu baharu dengan mengambil sampel bunyi dari persekitaran seperti bunyi kereta api atau pergaduhan. Dia juga memikul tanggungjawab penuh menguruskan konsert, termasuk menyusun senarai lagu, memilih kugiran, dan mengawal pencahayaan pentas untuk menarik penonton di seluruh negara.

Leave a Reply