Tarung: Unforgiven, filem arahan Razaisyam Rashid iaitu pengarah yang sama membawa Kahar: Kapla High Council. Saya boleh katakan filem Tarung telah memperbetulkan segala kekurangan yang ada pada filem Kahar dan memberikan satu pengalaman yang menyeluruh dan memuaskan. Filem ini tidak memecahkan mana-mana roda, sebaliknya ia menggunakan roda yang sedia ada tetapi dijalankan dengan lancar. Oleh itu, senang untuk saya katakan yang ia adalah antara satu filem aksi tempatan yang terbaik pernah saya tonton dan antara filem terbaik yang akan diterbitkan pada tahun ini.

Seperti saya katakan, ia tidak memecahkan mana-mana roda dan membawa roda yang sama, termasuk juga penceritaan. Ia membawa premis penceritaan seakan-akan Kahar tetapi berbanding memfokuskan kepada persekitaran sekolah, Tarung lebih kepada kumpulan kongsi gelap yang digelar sebagai MARGA. Kumpulan tersebut mempunyai lapan cawangan yang mengawal lapan kawasan di Kuala Lumpur, ia diketuai oleh seorang ketua yang pada permulaan cerita ini, ia adalah Khalid lakonan Bront Palarae.
Jawatan Khalid tersebut menjadi rebutan terutama Badrul lakonan Zul Ariffin, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya adalah melalui Tarung di mana kesemua cawangan akan menghantar seorang pelawan untuk bertarung dengan pelawan-pelawan lain. Selepas satu kejadian, Badrul telah meminta Hatta lakonan Mierul Aiman, seorang pesilat yang mempunyai sejarah hitam. Dia bersetuju untuk menjadi ‘ayam sabung’ Badrul kerana Badrul akan membayarnya untuk pembedahan kakaknya yang sakit.

Manakala Khalid pula diwakili oleh Isa lakonan Aedy Ashraf yang mempunyai sejarah dengan Hatta dan ingin membalas dendam. Selain perihal Tarung ini, filem ini juga dikembangkan lagi dengan penceritaan cinta yang ‘terlarang’ di antara Isa dan Dahlia lakonan Azira Shafinaz kerana Isa orang kanan Khalid manakala Dahlia adik kepada Badrul. Aisha lakonan Sharifah Sakinan dan Yusof lakonan Amir Ahnaf iaitu kakak dan juga rakan kepada Hatta juga membawa lapisan tambahan kepada penceritaan dan perwatakan Hatta, dengan kedua-dua memberikan prestasi lakonan yang mantap.
Jalan cerita tidak membawa sesuatu yang baharu, jika anda sering menonton filem saya tidak terkejut jika anda akan teringat dengan filem-filem lain, akan tetapi ia bukan masalah kerana Tarung menyampaikan dengan berkesan dan setiap watak memainkan peranan yang sangat baik bagi memastikan jalan cerita penuh dengan selok belok emosi. Kisah dan persaingan di antara Hatta dan Isa merupakan tunjang utama filem ini dan ia dilakukan dengan sangat berkesan, pengakhiran kisah mereka berdua benar-benar membawa segala emosi yang ada, ini ditambah lagi dengan prestasi lakonan kedua-dua mereka benar-benar menjadi penggerak utama penceritaan ini dan mereka tidak mengecewakan.

Sedikit rungutan mengenai penceritaan bagi saya adalah untuk ‘Tarung’ dan juga dendam di antara Hatta dan Isa memberikan satu konteks yang baik, akan tetapi pertempuran lain, untuk mengisi filem ini tidak rasa lebih daripada sekadar filler sahaja. Jika juga diberi konteks yang berkesan, ia bukan sahaja menjadikan sesuatu pertempuran tersebut lebih menarik tetapi pada masa yang sama memberi peluang untuk filem ini menyertakan penceritaan tambahan sebagai sampingan kepada penceritaan utama.
Bagi aksi pula, tiada rungutan, filem ini penuh dengan pertarungan ataupun perlawanan yang dilakukan dengan menarik. Memfokuskan lebih kepada pertarungan jarak dekat menggunakan tangan, dan senjata biasa hanya digunakan secara ringkas sahaja, menjadikannya ia lebih menarik. Saya juga harus memuji koreografi yang memberi adegan-adegan ini kelihatan sangat memuaskan. Menggunakan elemen silat, terutama oleh Hatta dan Isa bagi saya benar-benar membuatkan gaya seni pertahanan diri tersebut kelihatan lebih cool berbanding filem-filem lain yang menjadikan silat sebagai gaya utama.

Akhir kata, saya boleh simpulkan Tarung adalah antara filem aksi tempatan terbaik dan mungkin menjadi filem tempatan terbaik tahun ini. Ia memiliki semua ciri-ciri filem aksi yang baik, ia mempunyai penceritaan yang menarik, lakonan berkualiti dan aksi yang memuaskan. Ia tidak membawa satu penceritaan yang baharu tetapi penyampaian yang berkesan menjadikan ia masih satu pengalaman yang baik, lakonan Mierul Aiman dan Aedy Ashraf juga sangat berkesan untuk menghidupkan dua watak yang menjadi tunjang utama filem ini dan filem ini bukan sahaja penuh dengan aksi, tetapi setiap adegan aksi ini dihasilkan dengan memberi kepuasan kepada penonton dan membuatkan pencak silat kelihatan cool.


