Sebagai filem prekuel untuk Projek: High Council, Kahar: Kapla High Council memfokuskan kepada bagaimana Kahar lakonan Amir Ahnaf, antagonis utama di dalam siri tersebut menjadi ‘KAPLA’ ataupun Ketua bagi High Council iaitu “pemerintah” tidak rasmi bagi seluruh pelajar di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Di dalam filem ini, dia merupakan pelajar Tingkatan 4 dan sentiasa di bawah bayangan abangnya Reza lakonan Aedy Ashraf yang merupakan pelajar Tingkatan 5, Ketua Pengawas dan juga KAPLA pada waktu itu, bapa mereka berdua Dato’ Abu Yamin lakonan Hushairy Hussein juga merupakan bekas pelajar dan KAPLA suatu ketika dahulu.
Sering dibandingkan dengan abang dan bapanya, Kahar terasa tertekan dan tidak ingin berada di sekolah tersebut, namun dia terus dipaksa oleh bapanya untuk terus kekal di situ demi menjaga nama dan juga ‘warisan’ keluarga mereka. Megat yang bermusuh dengan Reza, melihat Kahar sebagai orang yang dia boleh pengaruh untuk membalas dendam terhadap Reza. Termakan dengan bisikan Megat, Kahar menyertai ‘Pilihanraya’ di dalam menentukan KAPLA yang seterusnya, satu perkara yang tidak disukai oleh Reza yang inginkan Kahar untuk fokus kepada belajar sahaja.

Sepanjang filem ini, ia lebih memfokuskan kepada Pilihanraya tersebut dengan Kahar perlu melawan dengan ramai pencabar, dan pada masa yang sama penceritaan juga memfokuskan kepada bagaimana tekanan ini mengubah tingkah laku Kahar, dan bagaimana perhubungan yang boleh dikatakan toksik di antara Kahar, abangnya dan bapanya. Saya boleh katakan kepelbagaian cabang penceritaan ini adalah menarik, namun sedikit mengecewakan dengan bagaimana penceritaan ini distrukturkan, ada masa saya sedikit keliru dengan perwatakan Kahar yang sama ada dia menjadi ‘baik’ atau ‘jahat’ terutama kita tahu bagaimana wataknya di dalam siri.
Kekeliruan watak ini menyebabkan saya sukar untuk berasa empati dengan watak Kahar yang serba sedikit mengganggu pengalaman tontonan saya, namun oleh kerana penceritaan masih ringkas, keseluruhan kisah dan motif penceritaan masih boleh difahami dan ia masih memberi kepuasan tontonan untuk melihat bagaimana ia dirungkaikan. Walaupun filem ini merupakan satu prekuel, akan tetapi filem ini bermula dengan berakhir sebagai susulan untuk siri Projek: High Council oleh itu sangat-sangat dicadangkan untuk tonton siri tersebut terlebih dahulu kerana ia akan menjadi spoiler, tambahan itu jika anda sudah menontonnya, pengakhiran bagi filem ini akan lebih mudah untuk difahami.

Jika anda mengharapkan penceritaan sepertimana Projek: High Council iaitu mengenai kisah buli di sekolah, anda mungkin kecewa kerana filem ini lebih memberi fokus kepada ‘Pilihanraya’ iaitu perlawanan-perlawanan di antara yang bertanding, oleh kerana itu saya lebih menganggap sebagai ini filem ‘fight club’ berbanding mengenai filem buli di sekolah. Ia bukanlah masalah untuk saya kerana pertempuran-pertempuran yang dilakukan adalah sangat baik dengan koreografi yang sangat baik. Cuma, saya mungkin lebih suka jika ia tidak terlalu mengambil langkah ilmu pertahanan diri contohnya Muay Thai yang digunakan oleh Kahar dan juga Reza, ia mungkin nampak lebih baik jika pertempuran secara jalanan sahaja agar dapat memberi gambaran lebih realistik untuk satu ‘pertempuran’ di antara pelajar sekolah – tetapi filem ini memastikan ada sebab mengapa mereka menggunakan seni tersebut oleh itu ia bukan masalah tetapi lebih kepada pilihan saya sahaja.
Akhir kata, Kahar: Kapla High Council membawa satu penceritaan dengan pelbagai cabang yang menarik mengenai Kahar mencari dirinya sendiri, perhubungan dia dengan abang dan bapa, penglibatannya dengan High Council di KUDRAT, Pilihanraya yang memperlihatkan perlawanan yang sangat baik memberi pelbagai perkara untuk diikuti di dalam filem ini akan tetapi ia boleh menjadi lebih baik jika penstrukturan penceritaan dilakukan dengan lebih kemas. Pastikan anda terus duduk selepas filem ini tamat kerana terdapat dua adegan post credit yang salah satunya mempunyai kejutan ataupun misteri yang perlu dirungkai.


