Selepas 28 tahun sejak tayangan asalnya pada 1998, drama bersiri GTO akan kembali menemui penonton sebagai sebuah siri penuh bermula 20 Julai ini. Pelakon Takashi Sorimachi mengulangi watak ikoniknya sebagai Eikichi Onizuka, yang kini berusia 52 tahun. Siri baharu ini dijadualkan bersiaran pada setiap Isnin jam 10 malam di rangkaian Kansai TV dan Fuji TV.

Fokus utama naratif kali ini adalah pertembungan di antara kaedah pengajaran tradisional Onizuka dengan sistem pendidikan moden yang sarat dengan teknologi. Musim baharu ini mengambil tempat di Akademi Swasta Seishin, sebuah institusi yang dikawal ketat oleh pengurusan data dan kecekapan digital. Interaksi antara pelajar dan guru bergantung sepenuhnya kepada penggunaan tablet. Lebih mencabar, sekolah tersebut melaksanakan “Sistem Maklum Balas Guru” di mana pelajar boleh menilai prestasi tenaga pengajar secara awanama. Penarafan rendah yang berterusan akan menyebabkan guru terbabit dilabel sebagai tidak layak.
Dalam persekitaran yang mengutamakan rasionalisasi dan meminggirkan interaksi bersemuka ini, pendekatan Onizuka yang berterus-terang dan sanggup berkorban demi pelajarnya tidak lagi dialu-alukan. Watak itu mendapati kaedah lamanya kini dianggap berbahaya dan sering menjadi punca dia kehilangan pekerjaan.
Bersama dengan pengumuman tarikh tayangan, pihak produksi turut mendedahkan poster rasmi yang memaparkan tiga ekspresi berbeza Onizuka, tersenyum hangat, menjerit kemarahan, dan riak wajah sayu ketika basah di bawah hujan. Visual ini direka bagi mewakili perjalanan pahit manis watak tersebut sepanjang bergelar seorang pendidik.
Dari segi produksi, musim baharu ini membawa kembali tenaga kerja utama dari siri 1998. Ini termasuk penulis skrip Kazuhiko Yukawa, pengarah Satoru Nakajima, dan penerbit Kazuhisa Ando. Pencipta siri manga asal, Tohru Fujisawa, turut terlibat dalam memantau penghasilan siri ini.
Keputusan untuk menerbitkan semula GTO sebagai siri penuh bertitik tolak daripada reaksi positif terhadap drama episod khas GTO Revival yang disiarkan pada April 2024. Sorimachi melihat siri baharu ini sebagai peluang untuk meneroka definisi sebenar seorang “Guru Hebat” dalam konteks masalah sosial generasi masa kini, dengan sasaran untuk menyatukan tontonan merentas pelbagai generasi di hadapan televisyen.


