Penerbit permainan video 505 Games telah memperoleh pemilikan penuh hak cipta (IP) untuk WUCHANG: Fallen Feathers daripada pembangun asal yang berpangkalan di China, Leenzee Games. Langkah perolehan ini diumumkan selepas permainan tersebut mencatatkan jualan global melebihi satu juta unit dan merekodkan pemain serentak 130 ribu pemain di platform Steam.
WUCHANG: Fallen Feathers merupakan sebuah permainan bergenre soulslike action RPG yang berlatarbelakangkan tanah Shu. Permainan ini pada asalnya telah dibiayai oleh 505 Games dan dilancarkan secara rasmi pada 24 Julai 2025 untuk platform PlayStation, Xbox, dan PC. Hubungan kerjasama di antara 505 Games dan Leenzee Games dilaporkan kekal positif tanpa sebarang pertikaian ekonomi.
Pengambilalihan IP ini memberi kuasa mutlak kepada 505 Games, yang juga merupakan anak syarikat Digital Bros Group, untuk membangunkan francais berkenaan bagi jangka masa panjang merentasi pelbagai platform dan membuka ruang untuk pengembangan ke format media lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Bros Group, Rami dan Raffi Galante, menyifatkan China sebagai pasaran utama industri dan sumber bakat kreatif yang pesat membangun. Sejajar dengan visi jangka panjang syarikat, kumpulan tersebut merancang untuk menjadikan China sebagai hab pembangunan dan pasaran komersial yang penting. Susulan daripada pengambilalihan ini, pihak syarikat kini sedang giat menjejaki rakan kongsi baharu di ekosistem China bagi mengembangkan lagi IP tersebut di peringkat global.


