Sony Interactive Entertainment mengumumkan peningkatan harga jualan bagi seluruh barisan konsol PlayStation 5 serta peranti PlayStation Portal untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara. Pelarasan harga baharu ini akan mula berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Mei 2026.
Bagi pasaran Malaysia, tanda harga baharu untuk konsol PS5 standard kini ditetapkan pada RM2,799 (harga semasa RM2,499), sementara varian Edisi Digital dijual pada RM2,499(harga semasa RM2,069). PS5 Pro pula mencatatkan harga jualan RM3,999(harga semasa RM3,849). PlayStation Portal turut mengalami kenaikan dengan harga runcit kepada RM1,099 (harga semasa RM999).

Kesan pelarasan harga ini turut dirasai oleh pengguna di negara-negara jiran. Di Singapura, harga baharu bagi PS5 adalah SGD 849, Edisi Digital berharga SGD 764, PS5 Pro pada SGD 1,167 dan PlayStation Portal pada SGD 347. Pasaran Thailand pula menyaksikan tanda harga baharu ditetapkan pada THB 20,990 untuk PS5, THB 18,790 bagi Edisi Digital, THB 30,990 untuk PS5 Pro, dan THB 8,380 bagi peranti PlayStation Portal.
Di Indonesia, konsol PS5 standard kini berharga IDR 11,399,000 manakala Edisi Digital dijual pada IDR 9,999,000 dan PlayStation Portal pada IDR 5,199,000. Sementara itu, untuk negara Filipina dan Vietnam, pengguna hanya ditawarkan satu penyenaraian harga baharu setakat ini iaitu konsol PS5 standard yang masing-masing akan dijual pada harga PHP 40,032 dan VND 16,900,000.
Naib Presiden Pemasaran Global Sony Interactive Entertainment, Isabelle Tomatis, menyatakan bahawa peningkatan harga perkakasan pada peringkat antarabangsa ini didorong oleh keadaan landskap ekonomi global semasa yang terus memberikan tekanan kepada pasaran dunia.


