Katalog langganan Apple Arcade akan menerima penambahan empat tajuk baharu pada 7 Mei ini, diketuai oleh Nick Jr. Replay! yang menghimpunkan lebih daripada 50 permainan retro dalam satu aplikasi interaktif. Turut akan dilancarkan pada tarikh yang sama adalah Good Pizza, Great Pizza+, Perchang World, dan Ultimate 8 Ball Pool+.

Nick Jr. Replay! menawarkan koleksi permainan yang menampilkan pelbagai watak daripada siri kanak-kanak seperti Dora the Explorer, Blue’s Clues & You!, Blaze and the Monster Machines, Bubble Guppies, Team Umizoomi, Shimmer and Shine, serta Teenage Mutant Ninja Turtles. Aplikasi ini dibangunkan dengan fokus terhadap elemen pembelajaran untuk membantu pemain muda membina kemahiran asas dalam matematik, membaca, seni, dan penyelesaian masalah.

Bagi penambahan judul lain, Good Pizza, Great Pizza+ ditawarkan sebagai sebuah permainan bergenre cooking business simulator yang memfokuskan penceritaan. Sementara itu, Perchang World membawa elemen physics puzzler, manakala Ultimate 8 Ball Pool+ pula menawarkan perlawanan biliard secara bersemuka dengan grafik fotorealistik.

Selain pelancaran baharu, beberapa judul sedia ada di platform tersebut turut menerima kemas kini kandungan bermula bulan ini. Acara khas rentas jenama bersama francais Barbie kini sedang berlangsung dalam My Talking Angela 2+. Pada 16 April, Hello Kitty Island Adventure akan menerima penambahan untuk jalan cerita City Town di mana watak Hello Kitty dan Usahana bekerjasama untuk menyelamatkan rakan mereka. Seterusnya pada 23 April, Disney SpellStruck akan menambah peta Adventure Mode baharu yang diinspirasikan daripada filem Episode VI — Return of the Jedi, bersama dengan penambahan watak boleh main Boba Fett dan Wicket.

Perkhidmatan Apple Arcade boleh dilanggan pada harga RM29.90 sebulan dengan percubaan percuma selama satu bulan, dan ia menyokong perkongsian akses sehingga enam ahli keluarga. Pelanggan yang membeli peranti baharu iPhone, iPad, Mac, atau Apple TV layak menerima akses platform ini secara percuma selama tiga bulan. Langganan ini juga boleh diakses melalui pelan bulanan Apple One bermula pada harga RM29.90 untuk Individu, RM44.90 untuk Keluarga, dan RM84.90 untuk Premier. Permainan Arcade Originals boleh dimainkan merentasi peranti iPhone, iPad, Mac, Apple TV, dan Apple Vision Pro.

Leave a Reply