Selepas kejayaan filem pertama, tidak mengejutkan Nintendo dan Illumination bekerjasama sekali lagi untuk filem seterusnya bagi adaptasi Super Mario dan kali ini menggunakan judul The Super Mario Galaxy Movie yang akhirnya menemui penonton dengan membawa satu filem yang penuh aksi dan penceritaan yang lebih menarik. Filem ini bermula dengan Puteri Rosalina, yang disuarakan oleh Brie Larson, sedang menjaga anak-anak bintangnya di sebuah istana. Namun, keamanan itu diganggu apabila Bowser Jr melancarkan serangan dan menculik Rosalina untuk menggunakan kuasanya.

Sementara itu, selepas bergelar wira dalam filem pertama, Mario dan Luigi kini menjadi tukang paip yang lebih popular. Semasa melakukan salah satu tugasan, pasangan adik-beradik ini terjumpa Yoshi yang kemudiannya terus menjadi sebahagian daripada pasukan mereka. Pengenalan Yoshi ini memberikan satu dinamik baharu yang sering menjadi bahan-bahan komedi tambahan terutama dengan gayanya yang bersahaja.
Semasa sambutan hari lahir Puteri Peach, dia meluahkan rasa sedih kerana hari tersebut hanyalah tarikh Toad menemuinya ketika dia kecil. Peach berasa kecewa kerana dia masih tidak mengetahui apa-apa tentang asal usul dirinya yang sebenar. Sewaktu Mario cuba menceriakannya, sebiji bintang jatuh berhampiran mereka dan merayu agar Peach membantu mencari Rosalina yang diculik.

Dengan harapan Rosalina mungkin mempunyai petunjuk tentang asal usulnya, Peach dan Toad bersetuju untuk membantu misi tersebut. Mereka meninggalkan istana di bawah jagaan Mario dan Luigi untuk memulakan pengembaraan. Pada awalnya, kedua-dua mereka melakukan tugasan yang baik menjaga istana dan kawasan sekitar, tetapi tidak lama selepas itu, Bowser Jr datang menyerang istana untuk menyelamatkan Bowser yang masih bersaiz kecil selepas dikalahkan oleh Mario, Luigi dan Peach di filem yang lepas. Selain mengecil, Bowser just mengatakan yang dia ingin berubah menjadi lebih baik.
Mario dan Luigi berjaya membawa Bowser lari, tetapi mereka akhirnya tersesat di sebuah planet asing dan Bowser membuktikan yang dia sudah berubah apabila membantu kedua-dua mereka untuk menyelamatkan diri daripada planet tersebut. Penceritaan kemudiannya memfokuskan kepada usaha Peach mencari Rosalina, manakala Mario dan Luigi pula cuba menjejaki Peach dengan ancaman Bowser Jr masih ada terutama dengan dia mempunyai pelbagai senjata berbahaya. Dari segi pacing, filem ini bergerak dengan sangat pantas dan padat dengan aksi dari satu babak ke babak yang lain.

Ia memperkenalkan pelbagai planet, watak, dan bahaya yang berbeza, memberikan rasa pengembaraan yang tidak pernah sunyi. Sepanjang tontonan, saya mendapati tiada ruang yang membosankan kerana urutan aksinya dihasilkan dengan sangat baik dan kreatif. Ia dipenuhi dengan pelbagai jenis senjata, power-up, dan juga pertempuran epik di angkasa lepas. Ini juga memberi ruang kepada penglibatan watak-watak dengan lebih berkesan terutama Mario, Luigi dan Peach yang benar-benar bersinar kali ini.
Satu masalah bagi saya adalah, kebanyakan adegan yang ada terutama di bahagian pertengahan penceritaan terasa seperti satu kisah sampingan sahaja, ataupun side quests yang tidak membina penceritaan utama. Misi asal untuk mencari Rosalina seolah-olah dilupakan seketika dan gangguan ini tidak banyak membantu dalam membina penceritaan dan juga emosi. Keadaan ini agak menjejaskan kelancaran naratif dan malangnya membuatkan watak Rosalina tidak mempunyai banyak peluang untuk menyerlah seperti watak lain.

Selain watak-watak daripada dunia Super Mario Bros, terdapat juga watak rentas judul, seperti yang sudah diperlihatkan salah satu daripadanya adalah Star Fox, selain itu terdapat juga beberapa watak kejutan lain pasti akan mengujakan para peminat permainan Nintendo terutama yang meminati siri Super Smash Bros. Bercakap mengenai watak Star Fox, saya boleh katakan dia dilihat memainkan peranan yang lebih besar berbanding watak Rosalina sendiri, kerana masalah yang saya nyatakan sebelum ini. Sedikit mengecewakan tetapi mungkin Rosalina akan diberi peluang lebih lagi jika ada filem yang seterusnya.
Dari sudut animasi, kualiti visualnya sangat hebat dengan perincian watak dan planet yang pelbagai. Cuma, saya berharap palet warnanya dibuat lebih terang kerana visualnya kelihatan sedikit kusam pada pandangan saya tetapi setiap adegan aksi dilakukan dengan sangat baik yang membantu di dalam menghasilkan satu filem yang penuh dengan pengisian menarik.

Secara keseluruhannya, The Super Mario Galaxy Movie adalah sebuah filem yang bergerak pantas dan sangat menyeronokkan, watak-watak di dalamnya lebih menyerlah terutama Mario, Luigi dan Peach akan tetapi oleh kerana bahagian pertengahan filem lebih kepada perkara sampingan ia serba sedikit kurang membantu di dalam pembinaan kisah utama, namun, saya masih lebih menyukainya berbanding filem pertama.


