Dragon Quest ialah sebuah francais yang tidak memerlukan pengenalan. Sering digelar sebagai bapa kepada genre JRPG, siri ini telah menerima banyak versi penghasilan semula (remake) dan penambahbaikan (remaster) sejak kebelakangan ini, memberikan nafas baharu kepada siri-siri awalnya. Yang terbaharu ialah Dragon Quest VII Reimagined, dan penggunaan nama ‘Reimagined’ (Diolah Semula) itu amatlah bertepatan. Ia bukan sekadar penambahbaikan visual semata-mata. Rentak penceritaan, sistem pertempuran, dan grafik semuanya telah melalui perubahan bermakna berbanding versi asal yang dilancarkan 26 tahun lalu.

Permulaannya nampak ringkas. Anda bermain sebagai anak seorang nelayan dari pulau Estard yang damai, di mana penduduknya percaya bahawa mereka adalah manusia terakhir yang masih hidup di dunia lautan yang tidak berkesudahan. Didorong oleh rasa ingin tahu, anda dan rakan-rakan, Putera Kiefer yang suka berpetualang dan Maribel yang lantang bersuara terjumpa sebuah kuil purba yang dipenuhi dengan kepingan batu bersurat yang pecah, yang berfungsi sebagai portal ke masa lalu. Menemui dan mencantumkan semula serpihan ini akan menghantar pasukan anda ke pulau-pulau yang dilupakan untuk mengalami kisah mereka dan menyelesaikan krisis yang berlaku. Ini menyebabkan setiap pulau tersebut muncul semula secara fizikal dalam dunia masa kini anda, perlahan-lahan mengisi lautan yang dahulunya kosong di sekeliling anda.
Salah satu perubahan yang paling ketara dalam versi Reimagined ini ialah babak permulaan yang dipendekkan. Versi asalnya cukup terkenal dengan rentak yang sangat perlahan, sehinggakan ada laporan pemain hanya menemui pertempuran pertama mereka selepas empat hingga lima jam bermain. Oleh sebab saya sendiri tidak pernah bermain versi asal, saya hanya bergantung pada kata-kata pemain yang pernah mencubanya. Namun, walaupun dalam versi yang telah diolah agar lebih lancar ini, permainan masih terasa seolah-olah dicepatkan, mendorong saya ke hadapan sebelum saya sempat menghayati sesuatu bahagian.

Dragon Quest VII Reimagined menyampaikan penceritaannya dalam bentuk episod pendek. Pasukan anda mengembara ke tanah baharu, menyelesaikan krisis tempatan, dari serangan raksasa hinggalah sumpahan purba, kembali ke masa kini, dan melihat pulau baharu muncul di ufuk. Kemudian, kitaran ini berulang. Struktur ini berfungsi dengan baik secara berasingan, tetapi mula terasa berulang sebaik sahaja anda menyedari coraknya, yang berlaku pada peringkat awal permainan.
Kualiti setiap cerita adalah berbeza-beza; ada yang benar-benar menarik dan ada yang terasa seperti persinggahan semata-mata. Persamaan utama cerita-cerita ini adalah kurangnya elemen risiko atau ‘pertaruhan’ yang besar. Tiada ancaman utama yang mendesak untuk mendorong anda maju ke hadapan pada sebahagian besar permainan, dan cara penyampaian berepisod ini menyebabkan jalan cerita jarang berkait antara satu sama lain dengan cara yang bermakna. Dunianya memang berkembang, tetapi agak sukar untuk benar-benar menghayati perkembangan tersebut apabila jalan ceritanya kekal ringan dan terlalu santai.


Pada mulanya, watak-wataknya tidak begitu membantu. Kiefer dan Maribel khususnya, terasa agak mendatar pada awal permainan dan tidak begitu menyenangkan. Lama-kelamaan, anda akan mula menyukai mereka, tetapi perkembangan watak tersebut memerlukan kesabaran. Permainan ini juga terlalu banyak ‘membantu’ pemain, dengan ikon-ikon barangan dipaparkan terus pada peta. Perkara ini secara tidak langsung menghilangkan rasa mendebarkan ketika meneroka, yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan genre ini. Ia mungkin memudahkan pemain yang kesuntukan masa atau kurang sabar, tetapi kurang memuaskan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman sebenar mengembara dan membuat penemuan baharu.
Ia mengambil masa kira-kira 30 jam sebelum plotnya menampilkan kejutan yang benar-benar meningkatkan cabaran dalam permainan. Ia adalah satu tempoh yang agak lama untuk meminta pemain terus bersabar, dan secara jujurnya, tidak semua orang sanggup bermain sejauh itu. Orang kata perjalanan itu lebih penting daripada destinasi, tetapi perjalanan di sini tidak sentiasa memberi anda alasan yang cukup kukuh untuk meneruskannya.


Sistem pertempurannya mengekalkan gaya klasik berasaskan turutan Dragon Quest, dan ia selesa dengan identiti tersebut. Terdapat keperluan untuk berfikir secara strategik dalam memanfaatkan kelemahan musuh serta menetapkan masa yang tepat untuk menggunakan ‘buff’ dan ‘debuff’. Namun, jika dimainkan pada tahap kesukaran biasa, fasa awal permainan terasa agak mudah. Menjelang pertengahan akhir permainan, anda perlu meluangkan masa untuk ‘grinding’, walaupun dari segi strategi, ia terasa kurang mendesak berbanding Dragon Quest XI, sekurang-kurangnya berdasarkan apa yang saya ingat.
Sistem Vocation membolehkan ahli pasukan anda menukar pekerjaan dan mengumpul kemahiran daripada pelbagai disiplin, di mana penguasaan kombinasi tertentu akan membuka peluang kepada Vocation yang lebih hebat. Ia adalah satu sistem menarik yang menambah kedalaman pada tahap kemajuan pemain, yang mungkin terasa mendatar tanpanya.

Dragon Quest VII Reimagined ialah sebuah permainan yang tidak menyembunyikan usianya. Walaupun ia diolah semula, anda masih boleh merasakan asas RPG dari tahun 2000 di sebaliknya, daripada deretan teks panjang yang menyapa anda di rumah tumpangan, hinggalah jeda masa selama lima saat setiap kali anda mengambil item penting. Sesetengah pihak mungkin menganggapnya sebagai satu keunikan yang menawan. Manakala yang lain pula mungkin melihatnya sebagai satu kekangan tidak perlu, yang kebanyakannya sudah pun ditinggalkan dalam reka bentuk permainan moden.
Siri Dragon Quest sentiasa mempertaruhkan daya tarikannya melebihi segala-galanya, bermula daripada runut bunyinya yang tersendiri hinggalah kepada penceritaannya yang hangat seolah-olah membaca buku cerita; dan daya tarikan itu turut dirasai di sini. Namun, dengan separuh pertama permainan yang berulang-ulang, serta watak-watak yang memerlukan masa untuk disenangi, agak sukar untuk saya mengatakan siri ini adalah titik permulaan yang baik untuk pemain baharu seperti yang diperkatakan oleh orang lain.
Jika anda sememangnya peminat francais ini dan rasa perlu untuk melengkapkan koleksi siri ini, Dragon Quest VII Reimagined masih berbaloi untuk dimainkan. Bagi pemain lain, pada pendapat saya, ada banyak siri Dragon Quest lain yang lebih mesra dan mudah didekati untuk anda memulakan pengembaraan.
Jin Soh merupakan Editor Video untuk Amanz Media dan juga merupakan ‘main’ Hu Tao.


