Samsung Galaxy S26 Ultra merupakan model paling premium untuk siri telefon ini yang hadir dengan saiz skrin 6.9-inci. Ia menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X beresolusi QHD+ dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Sebagai model paling berkuasa, ia membawakan spesifikasi serba baharu dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy , memori sehingga 16GB RAM, dan storan mencecah 1TB, bagi telefon yang saya guna ia hadir dengan storan 256GB dan 12GB RAM. Selain ciri AI yang dipertingkatkan dan keupayaan Enhanced Nightography Video , satu pembaharuan yang sangat praktikal ialah keupayaan penstabilan Super Steady dengan mod kunci mendatar atau Horizontal Lock. Fungsi ini mengunci kedudukan mendatar ufuk pandangan; bermakna saya boleh memutarkan peranti secara ekstrem ketika merakam, dan video akan kekal mendatar dengan sempurna, ia sangat bersesuaian untuk digunakan semasa aktiviti pantas atau banyak pergerakan. Walau bagaimanapun, untuk ulasan kali ini, saya ingin memberikan lebih tumpuan kepada tiga aspek teras: kualiti paparan, prestasi permainan, dan ketahanan bateri.

Bercakap mengenai paparan, S26 Ultra adalah peranti mudah alih pertama yang memperkenalkan ciri Paparan Privasi (Privacy Display) terbina di dalam perkakasannya. Ciri ini mengehadkan kebolehlihatan skrin dari sudut tepi, sesuatu yang sangat berguna jika anda mementingkan keselamatan data ketika berada di tempat awam. Namun, kekurangannya agak ketara; anda boleh melihat sedikit perubahan pada kualiti paparan sebaik sahaja ia diaktifkan. Pada gaya penggunaan saya, adalah lebih ideal untuk menetapkan privasi skrin separa ini hanya untuk tetingkap pemberitahuan atau aplikasi sensitif berbanding menghidupkannya untuk keseluruhan skrin setiap masa. Pun begitu, jika anda sebelum ini sering bergantung kepada pelindung skrin privasi, ini merupakan penyelesaian terbina yang memberikan anda kawalan yang jauh lebih baik.

Dari segi rekaan, Samsung telah beralih kembali kepada kemasan aluminium yang menjadikan telefon ini terasa lebih ringan dan selesa dipegang. Reka bentuk ini turut menyertakan sistem penyejukan Vapor Chamber yang direka semula untuk pembebasan haba yang lebih cekap, yang terbukti sangat membantu apabila peranti ini dipaksa bekerja keras. Cuma satu perkara yang perlu saya tegaskan: bonggol kameranya kini lebih menonjol berbanding generasi sebelum ini. Anda sememangnya tidak boleh meletakkan telefon ini secara rata di atas meja tanpa menggunakan kerangka pelindung.

Beralih kepada prestasi, cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 membawakan lonjakan yang mengagumkan dengan peningkatan CPU di atas kertas sebanyak 19%, NPU sebanyak 39%, dan GPU sebanyak 24%. Semasa saya mengujinya dengan permainan Honkai: Star Rail pada tetapan grafik maksimum, peranti ini mampu mengekalkan kelancaran 60FPS tanpa sebarang masalah. Walaupun penggunaan GPU kerap mencecah 100%, kadar bingkai kekal stabil dan hanya menurun sedikit di sekitar 56-58 FPS. Pengalaman bermain Honor of Kings juga sangat memuaskan, di mana peranti ini dengan mudah mencapai kadar kelancaran 120FPS. Kepanasan juga amat terkawal berkat rekaan kebuk wap baharu tadi, menjadikannya selesa dipegang walaupun untuk tempoh permainan yang lama.

Prestasi bateri adalah satu lagi bahagian yang benar-benar memuaskan hati saya dan berada di kelasnya yang tersendiri. Walaupun masih mengekalkan kapasiti 5,000 mAh, S26 Ultra mampu bertahan jauh lebih lama berbanding S25 Ultra sebelum ini, mencatatkan masa skrin terpasang (SOT) yang secara konsisten melebihi 14 hingga 16 jam. Ini memberikan saya keyakinan penuh untuk menggunakan telefon ini walaupun semasa menjangkakan hari yang sibuk. Sepanjang menggunakannya, saya tidak pernah perlu tercari-cari powerbank ataupun tempat pengecasan. Jika perlu dicas, sokongan baharu Super-Fast Charging 3.0 membolehkan peranti ini dengan kelajuan 60W, yang boleh mengecas sehingga penuh dari sifar dalam masa kurang pada sejam. Ditambahan dengan ketahanan, saya tidak akan mempunyai sebarang masalah dengan bateri ini.

Seperti yang saya nyatakan di bahagian rekaan, S26 Ultra hadir dengan rekaan Vapor Chambar yang lebih baik, dan ini membantu di dalam mengurangkan lagi kesan kepanasan semasa bermain. Saya tidak mempunyai masalah pemanasan di S25 Ultra, tambahan lagi bagi model terbaru ini. Anda akan masih terasa suam semasa bermain, tetapi tidak sehingga membuatkan tangan anda berpeluh ataupun tidak dapat memegangnya. Jika ingin bermain semasa mengecas, fungsi yang sudah tersedia sebelum ini iaitu Pause USB PD masih ada dan boleh mengurangkan lagi kepanasan serta menjaga hayat bateri.

Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy S26 Ultra adalah sebuah peranti mercu yang cemerlang dari segenap sudut paparan dan prestasi, sesuatu yang diharapkan daripada telefon mercu ini. Beberapa fungsi baharu seperti Privacy Display bagi saya masih lagi niche penggunaannya, agak mengecewakan kapasiti bateri tidak dipertingkatkan akan tetapi ia masih lagi memberikan ketahanan yang lebih lama berbanding model sebelum ini dan pengecasan lebih pantas, menjadikannya satu pengalaman penggunaan yang lebih baik. Di pasaran Malaysia, Samsung Galaxy S26 Ultra ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu 256GB + 12GB (model yang saya guna) dengan harga RM5,999, 512GB + 12GB dengan harga RM6,799 dan 1TB + 16GB dengan harga RM7,999. Terdapat enam pilihan warna iaitu Pink Gold (model yang saya guna) dan Silver Shadow yang ditawarkan secara eksklusif di Samsung.com bersama dengan Cobalt Violet, Black, Sky Blue dan White.

Leave a Reply