Adaptasi filem live-action untuk francais anime ikonik, Mobile Suit Gundam, kini dilaporkan bergerak dengan penglibatan nama-nama besar Hollywood serta perubahan di belakang tabir.

Menurut laporan Deadline, Netflix kekal menjadi pengedar filem terbitan Legendary Entertainment ini. Tetapi hadir dengan rombakan kreatif yang besar, di mana Jim Mickle, pengarah yang terkenal dengan siri Sweet Tooth, telah dilantik untuk mengarah serta menulis skrip filem tersebut.

Jim Mickle mengambil alih kerusi pengarah daripada Jordan Vogt-Roberts (Kong: Skull Island), yang sebelum ini diumumkan mengetuai projek ini pada tahun 2021 namun kini tidak lagi terlibat.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa dua bintang muda yang sedang meningkat naik, Sydney Sweeney (Euphoria, Anyone But You) dan Noah Centineo (To All the Boys, Black Adam), telah bersetuju untuk memegang watak utama.

Selain berlakon, Noah Centineo juga akan bertindak sebagai penerbit bersama rakan kongsinya Enzo Marc. Jim Mickle turut memikul tanggungjawab sebagai penerbit bersama Linda Moran melalui syarikat produksi mereka, Nightshade. Projek ini merupakan usaha sama strategik antara Legendary Entertainment dan pemilik hak cipta francais, Bandai Namco Filmworks.

Setakat laporan ini ditulis, Netflix dan Legendary masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Leave a Reply