Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang, The LEGO Group telah mengumumkan barisan set binaan baharu bertemakan Tahun Kuda, serta siri jelajah interaktif yang akan berlangsung di Sunway Pyramid bermula Februari ini.

Bagi peminat LEGO dan pengumpul koleksi bermusim, tumpuan utama tahun ini terarah kepada dua set ‘flagship’ Festival Musim Bunga yang menampilkan elemen mekanikal yang unik.

Berbeza dengan model statik biasa, set LEGO® Spring Festival Galloping Horse Canvas (80119) yang berharga RM449.90, menggabungkan seni tradisional dengan kejuruteraan mudah. Set 1,650 keping ini menampilkan motif kuda di atas latar belakang lukisan berus. Menariknya, ia dilengkapi pemegang yang apabila diputar, akan menggerakkan kuda-kuda tersebut untuk mensimulasikan aksi berlari, satu ciri teknikal yang memberi nafas baharu kepada paparan statik.

Sementara itu, set LEGO® Spring Festival Fortune Firecracker (80118) yang dijual pada harga RM349.90, menawarkan rekaan mercun klasik. Set 1,039 keping ini mempunyai fungsi interaktif di mana pengguna boleh menukar paparan antara dua babak berbeza iaitu pertunjukan bunga api atau sambutan Dewa Kekayaan, hanya dengan menekan satu butang. Ia juga direka untuk menghasilkan bunyi “berdetup” apabila digoncang, meniru bunyi mercun sebenar menggunakan kepingan LEGO di dalamnya.

Selain dua set utama ini, LEGO turut memperkenalkan koleksi pelengkap lain termasuk:

  • LEGO® Fortune Master (40864): Hiasan bermusim Dewa Kekayaan (RM139.90)
  • LEGO® Lucky Cat (40813): Model kucing nasib dengan tangan yang boleh melambai (RM139.90)
  • LEGO® Creator Beautiful Horse (31166): Set 3-dalam-1 yang boleh dibina menjadi kuda, beruang, atau rusa (RM219.90)
  • Koleksi Botanikal: Termasuk Plum Blossom dan Lucky Bamboo (RM139.90 – RM144.90)

Acara “Gallop Into Playful Horizons” di Sunway Pyramid

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman binaan secara fizikal, acara lapangan akan diadakan di LG2 Blue Concourse, Sunway Pyramid bermula 5 hingga 22 Februari 2026.

Ruang legar tersebut akan diubah menjadi taman tema Cina LEGO di mana pengunjung boleh menyertai empat stesen aktiviti utama:

  1. Flow with Koi: Membina ikan Koi LEGO dan meletakkannya di kolam pameran
  2. Herd Harmony: Permainan memadankan jubin LEGO bersama keluarga atau rakan dalam masa ditetapkan
  3. Reunion Route: Melengkapkan laluan “reunion” dengan membina jubin LEGO yang hilang
  4. Garden of Reunion: Menulis hajat dan menggantungnya di pokok harapan komunal

Kanak-kanak di bawah 12 tahun yang melengkapkan misi ini layak menerima LEGO Make and Take Horse secara percuma, manakala orang dewasa akan menerima baucar khas.

Seperti kebiasaan bagi pengumpul tegar, tarikan utama adalah pada barangan eksklusif “Gift with Purchase” (GWP). Berikut adalah ringkasan syarat pembelian untuk mendapatkan set percuma sepanjang tempoh promosi:

  • Belanja RM188: Percuma beg polibeg LEGO Creator Animal 3-in-1 (Di Kedai Diiktiraf LEGO)
  • Belanja RM228: Percuma LEGO Angbao Grocery Bag (Di acara Sunway Pyramid sahaja)
  • Belanja RM328: Percuma set edisi terhad LEGO Year of the Horse (40779)
  • Belanja RM720: Percuma set LEGO Lion Dance (40915)

Penampilan Maskot dan Tarian Singa

Pengunjung juga berpeluang bertemu maskot LEGO God of Fortune yang akan membuat penampilan di Sunway Pyramid pada hujung minggu terpilih (7-8, 14-15, dan 21-22 Februari) serta cuti umum Tahun Baharu Cina (17-18 Februari). Persembahan Tarian Singa pula dijadualkan berlangsung pada jam 4:00 petang pada tarikh 7, 14, dan 21 Februari.

Set-set baharu ini kini boleh didapati di Kedai Rasmi LEGO (LCS), serta kedai rasmi di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual penuh aktiviti, orang ramai boleh melayari laman web rasmi LEGO Malaysia.

Leave a Reply