Acara animasi, komik, dan permainan (ACG) terbesar serta paling lama bertapak di Asia Tenggara, Comic Fiesta 2025, bakal berlangsung pada hujung minggu ini bermula 20 hingga 21 Disember bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sebagai acara penutup tirai tahunan bagi komuniti ACG, Comic Fiesta 2025 menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang memfokuskan kepada budaya pop, seni kreatif, dan permainan video.

Pihak penganjur memaklumkan bahawa tiket yang dijual secara dalam talian telah habis terjual sepenuhnya. Bagi pengunjung yang masih belum mendapatkan tiket, jualan tiket secara fizikal (offline) masih tersedia di lokasi terpilih, namun jualan tersebut akan tamat pada hari ini atau selagi stok masih ada.

Harga tiket yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  • Weekend Pass (Pas Hujung Minggu): RM99 (Akses untuk Hari 1 dan Hari 2)
  • All Day Pass (Pas Seharian): RM55 (Akses untuk sama ada Hari 1 atau Hari 2)

Pengunjung boleh menjangkakan kepadatan aktiviti yang meriah di lantai pameran yang dibahagikan kepada beberapa segmen utama, termasuk Exhibitor Zone, Stamp Rally, Creative Art Market, dan La Petite Fox Cafe.

Bagi Creative Art Market, ia akan menampilkan seleksi gerai seni (Artbooth) daripada artis tempatan dan antarabangsa, serta Cosplay Booth yang membolehkan peminat bertemu dengan cosplayer kegemaran mereka.

Berdasarkan pelan lantai rasmi, Exhibitor Zone tahun ini dibahagikan kepada tiga zon utama dengan penyertaan jenama-jenama besar industri:

  • Zon A: Menempatkan nama-nama besar seperti Bushiroad, Banpresto, Bandai (termasuk Bandai Card Games & Nanoblock), Animate Malaysia, serta jenama gaya hidup dan teknologi seperti KFC Malaysia, Cheetah Malaysia, Wacom, dan Books Kinokuniya Malaysia. Peminat juga boleh melawat gerai Tonton dan Ultraman Card Game di zon ini.
  • Zon B: Zon ini menjadi tumpuan utama bagi penggemar figura dan merchandise rasmi. Antara tarikan utama termasuk Good Smile Company (yang membawakan kandungan dari Umamusume: Pretty Derby dan hololive), gerai rasmi hololive Meet, SUNRISEPOP, dan Megahouse. Turut serta adalah pempamer permainan video seperti Honor of Kings, Disney Lorcana, dan YUGIOH OCG. Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan barangan rasmi acara di gerai Coffytiam dan melawat Pavilion Hong Kong.
  • Zon C: Fokus kepada industri digital dan hiburan interaktif dengan kehadiran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), jenama permainan TODAK, NIKKE Merchandise Store, dan Karaoke Manekineko.

Selain itu terdapat juga tetamu jemputan, seperti Amelia Khor, DJ Blink, IGNIGHT, Rina-Hime, Chihiro, Shine, Mak dan Fujiwara Kazuko, Claris, Daoko, dan Machico.

Jika anda berminat untuk mengunjungi, anda dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka ke KLCC dengan awal memandangkan jangkaan jumlah pengunjung yang tinggi sepanjang dua hari acara berlangsung.

Leave a Reply