Siri Anno yang dibangunkan oleh Ubisoft Mainz sering dianggap sebagai salah satu penanda aras utama dalam genre strategi pembinaan bandar dan ekonomi. Dengan pelancaran Anno 117: Pax Romana, francais ini membawa pemain kembali ke zaman kegemilangan Empayar Rom, sebuah era yang sinonim dengan pentadbiran yang kompleks dan kemajuan infrastruktur.

Sebagai seorang pemain yang baru pertama kali menyentuh siri Anno, pengalaman saya bersama judul ini adalah satu proses pembelajaran yang bercampur-baur antara kekaguman terhadap kedalaman mekaniknya dan sedikit kekeliruan akibat kurangnya panduan yang menyeluruh.
Pada permulaan mod kempen, saya perlu memilih salah satu daripada dua beradik, Marcus atau Marcia. Walaupun kedua-dua watak ini menawarkan perspektif penceritaan yang agak berbeza dari segi personaliti dan interaksi watak, objektif keseluruhan dan struktur misi yang perlu diselesaikan adalah hampir sama.

Dari segi nada penceritaan, Anno 117 mengambil pendekatan yang agak unik. Dialog-dialog yang dipaparkan terasa seperti versi “sitkom” zaman Empayar Rom. Ia tidak terlalu serius atau dramatik, sebaliknya menyuntik elemen jenaka yang menjadikan suasana permainan lebih santai. Walaupun penceritaannya tidak begitu mendalam, ia sudah memadai untuk memperkenalkan pemain kepada dunia dan latar masa permainan ini.
Saya mengambil masa sekitar 10 jam untuk menamatkan satu sesi permainan, walaupun perlu diakui bahawa gaya permainan saya agak tergesa-gesa. Satu ciri yang wajar dipuji adalah kebolehan untuk saya tetapkan pengalaman yang saya inginkan seperti bermain mod Endless; saya boleh mengubah tahap kesukaran pada bila-bila masa semasa cerita berlangsung, sama ada untuk menjadikan cabaran lebih mudah atau lebih sukar mengikut keselesaan.

Bagi pemain baru untuk siri permainan ini, aspek tutorial dalam mod kempen ini terasa sedikit kurang memuaskan. Permainan ini berjaya mengajar asas-asas utama seperti cara membina rumah dan menyediakan keperluan asas, namun ia membiarkan pemain terkapai-kapai apabila melibatkan mekanik yang lebih mendalam. Terdapat banyak sistem yang perlu dipelajari sendiri melalui kaedah try and error, yang mungkin disengajakan oleh pembangun untuk menggalakkan percubaan, namun panduan yang lebih terperinci pasti akan lebih dihargai.
Walau bagaimanapun, permainan ini secara umumnya tidaklah terlalu rumit, selepas meluangkan sedikit masa memahami apa yang perlu diketahui seperti gameplay loop, permainan ini menjadi sedikit mudah untuk difahami tetapi mempunyai kedalaman yang mencukupi untuk mengekalkan minat.

Sebagai contoh, memahami rantaian bekalan menjadi lebih intuitif lama-kelamaan. Jika anda memerlukan pakaian, anda perlu membina ladang biri-biri, kemudian kilang penenun, jika anda ingin menghasilkan sesuatu tanaman tetapi tidak boleh dihasilkan di kawasan anda bermula, anda perlu mencari pulau lain yang mempunyainya dan memulakan penempatan di pulau tersebut. Proses ini logik dan memuaskan apabila melihat bandar berfungsi dengan lancar
Dari aspek pengurusan mikro, Anno 117 berjaya mengelak daripada menjadi terlalu membebankan. Walaupun begitu, rekaan menu dan antaramuka pengguna (UI) boleh diperbaiki lagi. Pada peringkat awal, navigasi menu terasa agak serabut dan maklumat penting kadangkala sukar dicari dengan pantas. Namun, sebaik sahaja pemain membiasakan diri, sistem ini berfungsi seperti yang diharapkan.

Satu pujian besar harus diberikan kepada kejelasan sistem sebab dan akibat dalam permainan ini. Sepanjang sesi permainan, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi di mana saya bingung mengapa sesuatu bencana berlaku. Jika wang simpanan negara habis atau kebakaran merebak di serata bandar, puncanya jelas dan saya boleh memahami kesilapan strategi yang telah dilakukan serta membaikinya dengan segera. Ini adalah aspek rekaan permainan yang sangat penting untuk mengelakkan rasa ‘ditipu’ oleh permainan.
Permainan ini juga menyertakan dua kawasan utama ataupun benua iaitu Latium dan Albion yang mempunyai rekaan peta yang tersendiri, selain itu, di Latium ia adalah pada asasnya benua Rom, manakala Albion saya diberi pilihan untuk menjadikannya sebagai negara Rom ataupun Celtic yang mempunyai binaan, barangan, budaya dan rekaan tersendiri. Walaupun dua nampak sedikit, tetapi bagi saya ia masih mencukupi untuk saya luangkan masa tanpa merasa jemu sekurang-kurangnya untuk 50 jam pertama.

Anno 117: Pax Romana mengembalikan elemen pertempuran darat yang tidak tersedia dalam beberapa judul Anno sebelum ini. Secara jujurnya, mekanik pertempuran ini hanyalah sekadar baik dan tidak mempunyai kedalaman taktikal yang mampu menjadikannya ciri yang menonjol.
Begitu juga dengan pertempuran laut; ia berfungsi dengan baik jika anda memilih pendekatan agresif atau “laluan perang”, yang mungkin tidak dapat dielakkan atas sesuatu sebab. Namun, bagi pemain yang lebih gemar menumpukan perhatian kepada ekonomi dan pembinaan bandar melalui “laluan aman”, anda tidak akan kerugian apa-apa jika mengabaikan aspek peperangan ini sepenuhnya. Ia adalah tambahan yang baik, tetapi bukan fokus utama.

Dari sudut visual, permainan ini sememangnya memukau. Perincian pada setiap bangunan sangat teliti dan berjaya membangkitkan atmosfera Rom yang autentik. Melihat bandar yang dibina menjadi hidup dengan animasi penduduk yang sedang bekerja, seperti proses pembuatan sabun atau penuaian minyak zaitun memberikan kepuasan visual yang tinggi.
Walau bagaimanapun, kecantikan grafik ini menuntut kuasa pemprosesan yang agak tinggi. Saya memainkan judul ini pada PC, dan prestasinya agak berat bagi komputer riba atau PC spesifikasi pertengahan. Untuk mencapai kadar bingkai 60FPS pada tetapan “High”, penggunaan teknologi upscaling seperti DLSS adalah hampir wajib. Permainan ini tidak berjalan dengan buruk, tetapi pemain dengan perkakasan yang kurang berkuasa mungkin perlu menurunkan sedikit tetapan grafik untuk mendapatkan resolusi yang lebih stabil.

Secara keseluruhannya, Anno 117: Pax Romana adalah sebuah penyertaan yang kukuh dalam siri ini, walaupun ia mungkin terasa sedikit menakutkan bagi pemain baharu pada peringkat permulaan. Kekurangan panduan mendalam dalam mod kempen diimbangi dengan sistem permainan yang logik dan adil. Ia berjaya menawarkan kepuasan membina sebuah empayar yang kompleks tanpa menjadikan pemain berasa sesat tanpa punca apabila masalah timbul. Bagi mereka yang meminati sejarah Rom dan simulasi ekonomi, ini adalah judul yang berbaloi untuk dicuba, asalkan anda bersedia untuk belajar sendiri beberapa mekanik yang tidak diterangkan secara langsung.


