Semalam, pada pukul 2.17 pagi, kesemua kanak-kanak di dalam kelas Cik Gandy, terjaga, bangun dari katil, turun ke bawah, buka pintu rumah, berjalan ke kegelapan malam dan tidak pulang – itulah premis utama untuk filem ini, termasuk juga treler yang memfokuskan kepada bahagian ini sahaja yang bagi saya sebenarnya tidak banyak memperlihatkan apa yang akan disampaikan di dalam filem ini. Melihat pada premis penceritaan dan treler, saya menganggap filem ini akan disampaikan dengan cara tertentu, tetapi jangkaan saya salah dan ia disampaikan dengan cara yang lebih menarik.

Bagi ulasan ini, saya memilih untuk nyatakan bagaimana filem ini disampaikan kerana bagi saya, cara penyampaianya merupakan satu kejutan ataupun tarikan yang membantu untuk mempertingkatkan pengalaman bagi filem ini. Namun, saya boleh katakan yang filem ini disampaikan dengan beberapa bab yang berlainan, dan apabila melihat judul bab tersebut, saya boleh katakan yang mudah untuk memahami pilihan oleh pengarah, Zach Cregger di dalam penyampaian filem ini. Seperti saya nyatakan sebelum ini, ia adalah menarik dan membantu di dalam penyampaian penceritaan dengan beberapa sudut yang berbeza.
Cara penyampaian ini juga membantu untuk memberi ruang kepada setiap watak yang terlibat dikembangkan serta diperkenalkan dengan lebih mendalam kepada saya sebagai penonton. Ini termasuklah dua watak utama yang saya boleh katakan iaitu Justine Gandy lakonan Julia Garner yang merupakan seorang guru di mana kesemua kanak-kanak di dalam kelasnya menghilangkan diri yang menyebabkan dia menjadi suspek utama oleh ibu bapa kanak-kanak yang hilang, salah seorang daripada ialah Archer Graff lakonan Josh Brolin yang cuba untuk melakukan siasatan sendiri mengenai kehilangan anaknya.

Watak Justine Gandy dilakonkan dengan baik tetapi saya tidak berapa menyukai perwatakannya yang ada masa terasa tidak membantu di dalam penyampaian filem ini. Saya boleh lihat yang ada beberapa perkara yang berlaku berkait dengannya membantu di dalam membina bahagian yang lain, tetapi saya juga merasakan yang wataknya boleh dilakukan dengan lebih baik dan mungkin hadir dengan satu watak yang saya boleh berasa empati mungkin serba sedikit akan membantu bagi menjadikannya watak yang lebih baik. Manakala watak Archer Graff adalah lebih mudah dan lebih senang untuk saya ikuti dan segala tindakannya adalah boleh difahami.

Selain dua watak di atas, filem ini juga menyampaikan penceritaan melalui beberapa lagi watak yang pada awalnya kelihatan tidak penting tetapi dengan cara filem ini disampaikan ia menjadi agak penting dan membantu di dalam melengkapi penceritaan. Ia merupakan satu lagi keunikan untuk filem ini dan menjadikannya lebih menarik dan juga membantu untuk memastikan misteri disampaikan dengan beberapa cara yang berbeza. Penggunaan cara penyampaian dan juga kepelbagaian watak ini merupakan perkara utama yang membuatkan filem ini menarik dan dibina dengan baik, akan tetapi saya boleh katakan pengakhiran untuk filem ini tidak sebaik dengan pembinaan yang dilakukan, yang bagi saya sedikit mengecewakan.
Adakah ini filem seram ataupun ganas? Saya boleh katakan ya, terdapat bahagian yang menyeramkan yang membuatkan saya mencekam kerusi, terutama dengan konteks bagi filem ini. Terdapat juga jumpscare tetapi bagi saya ia lebih kepada penipuan yang nasib baiknya hanya dilakukan beberapa kali sahaja dan bukan perkara utama bagi filem ini. Bahagian ganas dilakukan dengan lebih baik, dengan terdapat beberapa adegan yang diluar jangkaan saya, ia juga dilakukan dengan mencukupi tidak terasa kurang ataupun terasa melebih-lebih.

Akhir kata, Weapons satu filem misteri ganas yang sangat baik, cara penyampaian filem ini menjadikannya lebih menarik dan di luar jangkaan akan tetapi pembinaan yang baik ini tidak ditutup dengan cara yang memuaskan membuatkannya sedikit mengecewakan, namun masih lagi satu filem yang akan dihargai oleh peminat filem misteri, filem seram ataupun filem ganas, tambahan lagi jika anda meminati ketiga-tiga genre filem ini.


