Black Panther pertama kali disertakan di dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) ketika Captain America: Civil War pada tahun 2016, sebelum menerima filem kendiri dua tahun kemudian. Selepas itu, lebih banyak dunia Black Panther dan juga Wakanda diperlihatkan, dan di dalam MCU, saya sentiasa mendapati yang Wakanda adalah satu negara yang menarik untuk diselami lagi kisahnya, dan Eyes of Wakanda iaitu siri animasi terbaru di Disney+ Hotstar melakukan perkara ini dengan jayanya.
Eyes of Wakanda mempunyai empat episod, dan setiap episod akan memfokuskan kepada watak berlainan daripada generasi berbeza tetapi satu persamaan untuk mereka semua, mereka merupakan War Dogs iaitu organisasi rahsia Wakanda yang anggotanya pernah diperlihatkan di dalam MCU seperti Nakia, N’Jobu dan juga Zuri. Bagi siri ini menariknya ia memfokuskan kepada Wakanda ratusan tahun sebelum kejadian di dalam MCU yang serba sedikit memperlihatkan sejarah mereka.

Siri ini bermula dengan kisah Noni, iaitu War Dogs pertama yang ditugaskan untuk mengembalikan artifak Wakanda yang sudah dicuri, episod-episod seterusnya memfokuskan yang sama iaitu mendapatkan artifak yang berlainan tetapi setiap episod akan mempunyai kaitan yang tersendiri, contohnya di episod pertama Noni menjadi ejen War Dogs, tetapi di episod kedua ia memfokuskan pula watak lain iaitu Memnon dan Noni sudah menjadi pengarah War Dogs di episod ini.
Setiap episod penceritaan adalah ringkas sahaja, tetapi setiap episod juga diselitkan dengan penceritaan berlainan yang berkait dengan pengorbanan perlu dilakukan oleh War Dogs yang perlu terlibat dengan dunia luar tetapi pada masa yang sama kesetiaan mereka hanyalah kepada Wakanda dan juga perlu memastikan misi mereka diselesaikan. Terdapat beberapa episod juga yang mengambil peluang untuk melibatkan watak lain bukan sahaja daripada watak Marvel tetapi juga watak sejarah yang menjadikan episod tersebut lebih menarik.

Tambahan pada itu, saya juga menyukai bagaimana setiap episod dikaitkan dengan episod-episod yang lain walaupun memfokuskan kepada watak dan juga di era yang berbeza. Selain itu, siri ini juga dengan baiknya membawa satu penceritaan yang berkait dengan dunia MCU. Ia mengingatkan saya kepada bagaimana siri animasi Predator: Killer of Killers yang juga boleh ditonton di Disney+ Hotstar, mempunyai penceritaan yang berlainan untuk setiap episod tetapi mempunyai didedahkan yang ia mempunyai kaitan sesama sendiri. Siri ini juga melakukannya dengan baik dan memberi kepuasan untuk tontonan.
Animasi juga memuaskan, walaupun berlaku di era-era berbeza dan juga di tempat yang berlainan tetapi apabila memperlihatkan Wakanda ia membawa rekaan yang unik untuk negara ini. Ini termasuk jugalah dengan rekaan persekitaran, rekaan pakaian, kostum ataupun peralatan dan senjata. Adegan perlawanan juga dilakukan dengan baik walaupun ringkas sahaja. Ini ditambah lagi dengan lakonan suara, ia benar-benar membawa satu penceritaan Wakanda.

Akhir kata, Eyes of Wakanda satu siri animasi yang benar-benar membawa kisah Wakanda yang tidak diperlihatkan sebelum ini, ia membawa kisah pejuangan War Dogs untuk memastikan keselamatan Wakanda tetapi diselitkan dengan kisah tambahan yang menyentuh hati dan juga yang berkesan di dalam menyertakan kaitan antara satu sama lain dan juga kaitan dengan MCU secara keseluruhan. Ia satu siri ringkas yang baik di dalam menyampaikan penceritaan tambahan untuk kisah Wakanda dan juga MCU.
Eyes of Wakanda sudah boleh ditonton di Disney+ Hotstar


